Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KISAH-KISAH LEBARAN

Lebaran bersama 'orang baru'

Jul 11, 2016 | 05:30 AM



TANGISAN mengisi awal Syawal sedang masyarakat Melayu/Islam di sini meminta kemaafan antara satu sama lain sempena Hari Raya Aidilfitri.



Namun, di sebalik tangisan penyesalan terhadap salah dan silap yang telah dilakukan, tangisan lebih manis dirasakan oleh Cik Siti Zalinah Adam tatkala beliau melahirkan anak keempatnya pada Hari Raya kedua.



Cik Siti Zalinah, 32 tahun, berkata: "Sebenarnya bayi saya ini dijadualkan lahir pada Ogos namun Tuhan lebih mengetahui. Dia dilahirkan pada bulan Syawal."



Cahaya matanya, Safwa Aisyah Mohd Fazlan, selamat dilahirkan secara normal di Hospital Raffles.



Bayi perempuan seberat 2.36 kilogram itu dilahirkan pada 11.44 malam dan merupakan anak keempat Cik Siti Zalinah dan Encik Mohd Fazlan Abdul Samat.



Menurut Cik Siti Zalinah, beliau mula merasakan kontraksi tatkala sedang menghidapi keracunan makanan pada minggu kedua bulan puasa namun diberi ubat anti-kontraksi selama tiga minggu kerana bayi tersebut masih belum cukup bulan.



Ketika itu, bayi dalam kandungan baru berusia 33 minggu.



Walaupun demikian, beliau berasa terharu kerana diberi peluang menunaikan ibadah tarawih pada separuh pertama Ramadan, walaupun kadangkala perlu berkerusi roda.



Kontraksi itu bertambah kuat tatkala beliau sedang menziarahi rumah terbuka ibu mentuanya pada Hari Raya kedua.



"Waktu itu saya sekeluarga berada di rumah ibu mentua jadi apabila saya merasakan kontraksi yang bertambah kuat, saya terus mengajak suami ke hospital sekitar 6 petang," ujar beliau.



Proses bersalin berjalan lancar bagi Cik Siti Zalinah kerana beliau mengambil masa yang agak singkat untuk melahirkan bayinya.



Bahkan, kelahiran kali ini lebih mudah dan cepat berbanding anak-anak beliau yang lain kerana beliau mengambil masa sekitar setengah jam untuk melahirkan cahaya mata keempatnya itu.



Sungguhpun kini beliau sudah melahirkan anak dan harus berpantang, beliau bersyukur kerana dapat merasakan hidangan ketupat dan rendang kegemarannya.



"Pada Raya pertama, saya dapat juga merasa rendang dan ketupat kegemaran.



"Malah, saya dapat masak lauk-pauk sendiri pada Hari Raya pertama.



"Cuma tahun ini, saya tidak dapat balik kampung dan mengunjungi ibu dan ayah saya di Malaysia," ujar anak bongsu dalam enam beradik itu.



Biasanya, beliau anak-beranak pulang ke kampung halamannya di Pekan Nanas, Johor, sehari atau dua sebelum Hari Raya bagi berkumpul bersama ibu, ayah dan adik-beradik.



"Tapi apa nak buat. Saya baru melahirkan dan tentu sekali perlu berpantang. Jadi, tidak dapat ke Johor sebab perjalanan memenatkan,'' katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >