Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih banyak kambing korban tahun ini termasuk dari Ireland

Aug 19, 2014 | 07:33 PM



MASYARAKAT Islam Singapura mempunyai pilihan lebih luas untuk menjalankan ibadah korban tahun ini, dengan penyertaan lebih banyak masjid dan lebih banyak kambing yang akan dibawa masuk, termasuk dari sumber baru, Ireland.


Sebanyak 3,500 kambing - 2,000 dari Australia dan 1,500 dari Ireland - akan diterbangkan ke sini tahun ini, berbanding 2,500 kambing - 2,000 dari Australia dan 500 dari Canada - tahun lalu.


Tahun ini, harga kambing biri-biri dari Australia ialah $499 seekor, naik sekitar 10 peratus, berbanding $440 berbanding tahun lalu.


Harga lebih tinggi itu, yang juga merupakan yang tertinggi dalam sejarah harga kambing korban dari Australia di Singapura, ekoran kos kambing, logistik dan penerbangan yang meningkat.


Harga kambing biri-biri muda dari Ireland pula ialah $575 seekor.


Meskipun harganya lebih tinggi berbanding kambing Australia, ia hampir $200 lebih murah daripada kambing biri-biri muda dari Canada yang diimport ke Singapura bagi ibadah korban tahun lalu. Harga kambing Canada itu ialah $757 seekor.


Demikian diumumkan Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) dalam satu sidang media baru-baru ini.


Kambing dari Australia dan Ireland itu akan diimport oleh pembekal kambing korban yang diluluskan, Mini Environment Service Pte Ltd (MES), dan dijangka tiba di Singapura antara 2 dengan 3 Oktober nanti.


Masyarakat Islam Singapura akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 5 Oktober nanti.


Pengarah Divisyen MES, Encik Mohamed Rafiq K. E. Maideen, berkata, antara sebab pihaknya memilih untuk mengimport kambing dari Ireland selain Australia, sebagai sumber alternatif, ialah harganya yang berpatutan berbanding kambing dari negara lain yang diluluskan Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA).


Tambahnya, MES turut mempertimbangkan kambing dari Perancis, namun ia lebih 20 peratus lebih mahal berbanding kambing dari Ireland.


"Setelah kami buat kajian di beberapa negara Eropah, Ireland lebih sesuai dan harga kambingnya juga berpatutan... lebih sesuai dari segi pengangkutan dan tawaran daripada syarikat penerbangan.


"Perancis juga ada, tapi harganya lebih tinggi. Amerika dan Canada pula terlalu jauh bagi kami," kata Encik Mohamed Rafiq.


Sementara itu, orang ramai juga boleh menjalankan ibadah korban di 24 masjid di sini tahun ini, berbanding 21 tahun lalu.


Sebanyak 13 masjid akan menjalankan korban dengan kambing Australia sementara 11 lagi dengan kambing Ireland.


Selain 24 masjid itu, orang ramai juga boleh menjalankan korban di Jamiyah dan Muhammadiyah.


Pengerusi JKMS, Ustaz Rashid Ramli, berkata, beberapa masjid di sini yang menjalankan ibadah korban tahun lalu tidak dapat melaksanakan korban tahun ini atas beberapa sebab.


"Beberapa masjid tak dapat laksanakan korban kerana keperluan masjid itu sendiri seperti ia sedang menjalankan projek peningkatan, maka kawasan yang digunakan untuk urusan ibadah korban tahun lalu digunakan bagi kerja peningkatan tersebut," kata Ustaz Rashid.


Antara masjid yang melaksanakan korban tahun lalu tetapi tidak dapat melakukan demikian tahun ini ialah Masjid Sultan dan Masjid En-Naeem yang sedang menjalani kerja peningkatan.


Orang ramai yang berminat menjalankan ibadah korban di sini boleh mendaftar mulai hari ini (20 Ogos) sehingga 1 Oktober nanti.


Mereka boleh memuat turun borang tempahan kambing daripada laman web www.meskorban.sg.


Borang tempahan juga boleh didapatkan di 24 masjid itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >