Lebih ramai pekerja sosial, lebih banyak bantuan bagi yang memerlukan

PENDUDUK lemah dan miskin Singapura mempunyai lebih banyak tangan yang membantu mereka sekarang berbanding sebelum ini.

Sepanjang empat tahun lalu, bilangan pekerja sosial berdaftar di sini telah meningkat dua kali ganda kepada 1,600. Ini bermakna terdapat 29 pekerja sosial bagi setiap 100,000 orang, menurut angka terbaru Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Walaupun bilangan mereka masih rendah - Amerika Syarikat mempunyai sekurang-kurangnya tiga kali ganda - pemerhati berkata pertumbuhan dalam profesion itu hasil daripada beberapa peristiwa penting utama yang berlaku dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lepas, lapor akhbar The Straits Times pada Isnin (25 Jan).

"Kerja sosial semakin menerima pengiktirafan yang lebih daripada pemerintah dan masyarakat," kata Profesor Madya Seng Boon Kheng, ketua program kerja sosial di Universiti SIM (UniSIM).

"Pelbagai usaha telah dilaksana oleh kementerian untuk mempromosi profesion itu dengan meningkatkan struktur gaji, pembangunan kerjaya dan peluang latihan."

Presiden Persatuan Pekerja Sosial Singapura, Cik Agnes Chia, menambah: "Pertumbuhan profesion ini tidak berlaku secara kebetulan. Selama ini, banyak telah dilakukan bagi meningkatkan taraf pekerja sosial, menggalak imej profesion ini dan memberi pekerja pandangan lebih jelas mengenai laluan kemajuan kerjaya mereka."

Sebagai contoh, peta kerjaya nasional dilancarkan dua bulan lalu. Ia salah satu langkah paling penting bagi menjadikan sektor itu lebih profesional dan memberi pekerja sosial panduan bagi meningkatkan kemahiran untuk maju dalam pekerjaan mereka dan mendapat gaji lebih tinggi.

Salah faham bahawa pekerja sosial sukarelawan yang tidak dibayar berterusan walaupun profesion ini mempunyai sejarah menjangkau lebih enam dekad. Apabila kenaikan gaji bagi sektor ini diumumkan tahun lepas, langkah itu menunjukkan bahawa kerja sosial pekerjaan mahir yang sepatutnya mendapat ganjaran baik.

Pekerja sosial dan profesional perkhidmatan sosial lain, seperti ahli psikologi dan ahli terapi, diberi kenaikan gaji 3 hingga 19 peratus.

Pengarah kebajikan sosial di MSF, Cik Ang Bee Lian, percaya terdapat banyak lagi ruang baru dalam kerjaya itu.

"Generasi muda kini dapat menceburi bidang kerja sosial dengan restu ibu bapa mereka," katanya.

"Sebelum ini, ibu bapa akan menasihatkan anak supaya tidak memilih pilihan ini kerana ia bukan satu industri lumayan dan mereka menganggap seseorang itu boleh melakukan kerja-kerja ini pada bila-bila masa apabila lapang atau secara sukarela."

Namun, untuk memenuhi keperluan penduduk semakin tua, kira-kira 90 pekerja lebih sosial diperlukan setahun. Universiti di sini telah membuat rancangan untuk memenuhi permintaan tersebut.

Sebagai contoh, UniSIM akan menawarkan ijazah sarjana muda kerja sosial mulai tahun ini.

Kesedaran yang semakin meningkat mengenai kerja sosial diharap akan mendatangkan cara untuk "mengagihkan semula sumber dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan, menggalak persamaan", kata Cik Chia.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 44
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.