Lelaki Britain didakwa ceroboh litar F1

SEORANG lelaki Britain telah dihadapkan ke mahkamah hari ini (22 September) kerana menceroboh trek litar Grand Prix Singapore Airlines semasa perlumbaan tersebut sedang berlangsung kelmarin (20 September).

Tiada pengakuan diambil dari Yogvitam Pravin Dhokia, 27 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan terburu-buru hingga boleh membahayakan keselamatan para pemandu perlumbaan di Pusingan 13 di Esplanade Drive sekitar 9 malam.

Pihak pendakwa memohon agar kesnya ditangguh untuk menyelesaikan siasatan dengan Timbalan Pendakwaraya Marshall Lim berkata tuduhan baru mungkin dikenakan ke atas tertuduh.

Dhokia ditawarkan ikat jamin $15,000, namun dia memberitahu mahkamah jumlah tersebut terlalu tinggi untuknya kerana dia tidak bekerja. Pasportnya juga telah diimpaun.

Encik Lim berkata, penjamin boleh merupakan warga Singapura atau pegawai konsular dari Pesuruhjaya Tinggi British.

Ditanya oleh mahkamah, Dhokia berkata kedutaan British telah diberitahu tentang kesnya.

Kesnya akan didengar lagi pada 6 Oktober ini.

Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan dan/atau didenda sehingga $2,500.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.