Lelaki ditangkap kerana lagak sebagai polis untuk tipu wanita

SEORANG lelaki berusia 36 tahun ditangkap pada Isnin (25 Julai) kerana disyaki terlibat dalam penyamaran sebagai pegawai polis untuk menipu.

Dalam satu kenyataan pada petang Selasa, polis berkata mereka dimaklumkan oleh bank pada Isnin bahawa suspek membuat transaksi mencurigakan dari akaun banknya.

Berbekal maklumat itu, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) menjalankan siasatan dan mendapati seorang wanita berusia 37 tahun menerima panggilan pada kira-kira 10 pagi daripada suspek, yang mendakwa dia seorang pegawai polis.

Wanita itu diminta memberi butiran peribadi dan butir dirinya, termasuk kelayakan perbankan Internet beliau dan kata laluan satu masa (OTP) kepada suspek bagi "tujuan siasatan".

Kemudian didapati kira-kira $32,000 telah dipindahkan daripada akaun bank beliau ke akaun suspek.

Lelaki itu ditangkap pada kira-kira 5.45 petang dalam satu operasi polis.

Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun dan/atau denda bagi kesalahan menerima harta curi secara tidak jujur.

Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila menerima panggilan tidak diminta, terutama daripada pihak tidak dikenali.

Berikut adalah beberapa panduan:

- Abaikan panggilan. Penipu mungkin menggunakan teknologi perdayaan ID Pemanggil untuk menutup nombor telefon sebenar dan memaparkan nombor lain. Panggilan yang kelihatan daripada nombor tempatan mungkin sebenarnya tidak dibuat dari Singapura. Jika anda menerima panggilan mencurigakan daripada nombor tempatan, tamatkan, tunggu lima minit, kemudian telefon balik nombor itu untuk memeriksa kesahihan panggilan tersebut;

- Abaikan arahan kirim atau pindahkan wang. Agensi pemerintah tidak akan meminta anda membuat pembayaran melalui panggilan telefon, terutama ke akaun bank pihak ketiga;

- Jangan beri maklumat peribadi dan butiran bank, baik di laman web mahupun kepada pemanggil melalui telefon. Maklumat peribadi butiran bank seperti nama pengguna akaun dan kata laluan bank Internet kod OTP dari token, berguna pada penjenayah;

- Hubungi rakan yang dipercayai atau bercakap kepada saudara sebelum bertindak. Anda mungkin terharu oleh emosi dan tersilap pertimbangan;

- Jika anda mempunyai maklumat berkaitan jenayah serupa itu atau jika anda ragu-ragu, hubungi hotline polis di 1800-255-0000, atau hubungi 999 bagi bantuan segera polis.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 23
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.