Lelaki Singapura meninggal akibat denggi, korban kedua tahun ini

Seorang lelaki warga Singapura berusia 67 tahun meninggal dunia akibat demam denggi pada Rabu (10 Feb), mangsa kedua penyakit bawaan nyamuk itu tahun ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata mangsa, seorang penduduk Toa Payoh Lorong 4, dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng pada Isnin.

Keadaan beliau semakin teruk dan beliau meninggal dunia pada Rabu.

Pihak berkuasa berkata lokasi rumah pesakit di Toa Payoh bukan kelompok denggi aktif, tetapi operasi kawalan vektor untuk membunuh nyamuk dewasa dan memusnahkan potensi habitat pembiakan tetap dijalankan.

"Penduduk digesa bekerjasama sepenuhnya dan membenarkan pegawai NEA memeriksa premis mereka bagi pembiakan nyamuk dan menyembur racun serangga untuk membunuh nyamuk berjangkit," kata kenyataan itu.

Ia menyatakan terdapat peningkatan dalam jumlah nyamuk Aedes, vektor denggi, kerana keadaan panas yang disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino.

"Memandangkan cuaca lebih panas daripada biasa berterusan, jumlah kes denggi pada 2016 dijangka tinggi, dengan kes bertambah lebih awal dari tahun-tahun sebelumnya. Terdapat keperluan segera mengawal populasi nyamuk," ujar kenyataan itu.

Bulan lalu, seorang lelaki warga Singapura berusia 47 tahun yang tinggal di Marsiling Rise meninggal dunia akibat denggi.

Simptom denggi boleh bermula beberapa hari hingga dua minggu selepas seseorang itu digigit, dan termasuk demam panas dan sakit akut pada sendi. Dalam beberapa kes, ia juga boleh menyebabkan penurunan tahap platelet dalam darah. Platelet diperlukan untuk pembekuan.

Jumlah kes denggi mencecah paras 2,441 bulan lalu - bilangan yang luar biasa tinggi bagi Januari, yang secara tradisinya musim rendah untuk denggi.

Menurut laman web NEA, terdapat 438 kes denggi antara 31 Jan dan 3.30 petang 5 Februari.

Kes denggi telah bertambah di seluruh dunia dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan ia penyakit virus bawaan nyamuk paling cepat merebak.

WHO menganggarkan 50 juta hingga 100 juta orang dijangkiti setiap tahun.

Pihak berkuasa pada Rabu menggesa semua orang supaya membuang air bertakung dari persekitaran mereka untuk membasmi habitat pembiakan nyamuk.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.