Lewis Hamilton juara GP Singapura 2017

MESKIPUN bermula di petak kelima, pemandu Mercedes, Lewis Hamilton, berjaya menjulang trofi juara dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura Singapore Airlines malam ini.

Nasib menyebelahi pemandu asal Britain itu apabila tiga pemandu – pemandu Ferrari, Sebastian Vettel (yang bermula di petak pertama); pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen (di petak keempat) dan pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen (di petak kedua) – tidak dapat terus bertanding dek kemalangan sejurus selepas perlumbaan itu bermula dalam cuaca hujan.

Hamilton hanya pernah menang dua kali di Litar Jalan Raya Marina Bay sebelum ini – semasa memandu bagi pasukan McLaren Mercedes pada 2009 dan bagi pasukan Mercedes pada 2014.

Pemandu Red Bull Racing, Daniel Ricciardo (bermula di petak ketiga), menduduki tempat kedua manakala rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan tadi.

Harapan Vettel untuk menjadi juara malam ini terkubur awal selepas beliau terlibat dalam kemalangan selepas perlumbaan baru bermula. Nahas itu menyebabkan keretanya rosak teruk.

Vettel juga pernah menjadi juara dalam GP Singapura empat kali sebelum ini – tiga kali sebagai pemandu Red Bull Racing Renault pada 2011, 2012 serta 2013 dan sebagai pemandu Ferrari pada 2015.

Selepas 10 tahun menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) itu, Singapura akan terus menganjurkannya bagi empat tahun mendatang.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan), Encik S Iswaran, mengumumkan demikian kelmarin, selepas penganjurnya, GP Singapura, menandatangani pelanjutan empat tahun untuk mengadakan perlumbaan malam itu.

GP Singapura ialah perlumbaan waktu malam pertama francais sukan ini.

Kali pertama perlumbaan tontonan jutaan orang sedunia itu diadakan di Singapura ialah pada 2008.

Lokasi Singapura ialah perlumbaan ke-14 daripada senarai 20 perlumbaan GP dalam kalendar F1 2017.

Dalam pada itu, jumlah pengunjung di GP Singapura tahun ini juga naik sekitar 19 peratus bagi mencapai 260,400 pengunjung secara keseluruhan, berbanding 218,824 pengunjung tahun lalu.

Pengarah eksekutif GP Singapura, Michael Roche, menyifatkan ini sebagai sesuatu yang positif.

Pengarah sukan lumba kereta F1, Ross Brawn, juga menyambut baik sambutan orang ramai.

“Singapura merupakan perlumbaan ikonik dalam kalendar kami dan saya gembira dengan pelanjutannya dan jumlah pengunjung yang ramai, yang menunjukkan keghairahan berterusan bagi acara yang hebat ini,” ujarnya.

Sementara itu, 'gegaran' perlumbaan F1 bukan sahaja terasa di Litar Jalan Raya Marina Bay, tetapi juga di luar apabila barisan artis antarabangsa tampil di pentas pertunjukan sempena sambutan penganjuran ulang tahun ke-10 GP Singapura ini.

Selain pertunjukan oleh penyanyi dan penulis lagu Calvin Harris, peminat dan pengunjung turut dihiburkan diva pop Ariana Grande dan kumpulan Chainsmokers.

Artis lain yang turut ditampilkan termasuk Duran Duran, Seal, George The Poet dan Lianne La Havas.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.