Mahkamah Rayuan 'prihatin' permohonan kaji semula keputusan muktamad bertambah

MAHKAMAH tertinggi Singapura melahirkan keprihatinannya pada Selasa (5 Apr) bahawa bilangan permohonan yang meminta ia mengkaji semula keputusan "muktamad" telah "meningkat secara mendadak pada tahun-tahun kebelakangan".

Mahkamah Rayuan itu mencadangkan Parlimen menimbangkan menggubal peruntukan yang akan mengelakkan permohonan tanpa merit pada peringkat awal, supaya hanya kes yang mempunyai asas sah bagi semakan dibenarkan diteruskan.

Ia berkata demikian dalam penghakiman bertulis menolak rayuan Jabing Kho agar sabitannya dibuka semula dan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya kerana membunuh dibatalkan.

Tahun lalu, 11 usul jenayah difailkan di mahkamah tertinggi itu untuk membuka semula kes jenayah yang proses rayuannya sudah kehabisan, termasuk kes Kho.

Permohonan itu termasuk seorang pengedar dadah yang cuba bergantung pada kenyataan rakan sejenayahnya untuk menunjukkan bahawa dia dianiayai, dan seorang pengedar heroin membuat rayuan kedua agar sabitannya dibatalkan dengan berhujah bahawa pertimbangannya terjejas akibat gangguan tertentu.

Selain rayuan Kho, daripada 10 rayuan lain, lapan ditolak kerana tiada merit sepenuhnya, satu ditarik balik dan satu belum didengar.

"Kami tidak fikir keadaan ini wajar kerana dua sebab," kata Hakim Rayuan Chao Hick Tin, yang membacakan keputusan kes rayuan Kho.

Muktamad adalah sebahagian daripada keadilan kerana sistem undang-undang tidak dapat berfungsi jika keputusan "tertakluk pada cabaran berterusan dan tidak henti-henti", kata beliau.

Selain itu, permohonan tanpa merit untuk mengkaji semula kes yang sudah selesai menggunakan sumber kehakiman terhad, yang boleh digunakan bagi kes yang akan dibicarakan bagi rayuan kali pertama.

"Akhirnya, kita masih merupakan (sistem) bidang kuasa dengan satu rayuan."

Mahkamah Rayuan itu berkata kuasa membuka semula rayuan jenayah yang telah selesai harus dijalankan dengan berhati-hati dan hanya dalam keadaan luar biasa.

Pemohon yang memohon kajian semula mesti terlebih dahulu menunjukkan bahan baru dan kukuh yang boleh menunjukkan bahawa hampir pasti telah berlaku ketidakadilan.

Mereka juga perlu menunjukkan bahawa keputusan mahkamah "boleh ditunjukkan salah" atau ia telah dicemari oleh penipuan atau pelanggaran keadilan asasi.

Mahkamah itu mendapati bahawa di Britain dan Hong Kong, peraturan telah digubal di mana sesuatu pihak perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah sebelum mereka boleh memohon untuk membuka semula kes yang proses rayuannya sudah kehabisan.

"Pengenalan peringkat permohonan kebenaran untuk membuka semula rayuan jenayah yang sudah selesai akan mengimbangi dengan lebih baik hak dan kepentingan semua orang yang menggunakan sumber kehakiman terhad."

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.