Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahu sumbang semula kepada masyarakat

Maliki: Kejayaan Kapten Iskandar jadi inspirasi kepada belia
Sep 22, 2018 | 5:30 AM
BANGGA TERHADAP PENCAPAIAN ANAK MELAYU: Dr Maliki (tengah) bergambar bersama Kapten Iskandar (kanan) yang baru-baru ini diiktiraf Anugerah Cemerlang Mendaki serta seorang lagi anak Melayu dalam RSAF, Kapten Muhammad Azlan Abdul Latiff (kiri). - Foto fail
BANGGA TERHADAP PENCAPAIAN ANAK MELAYU: Dr Maliki (tengah) bergambar bersama Kapten Iskandar (kanan) yang baru-baru ini diiktiraf Anugerah Cemerlang Mendaki serta seorang lagi anak Melayu dalam RSAF, Kapten Muhammad Azlan Abdul Latiff (kiri). - Foto fail -

KETIKA di bangku sekolah dahulu, Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman tidak mampu membiayai yuran tuisyennya.

Namun, beliau tetap dapat mengikuti kelas-kelas tuisyen disebabkan bantuan daripada Yayasan Mendaki.

Kini, juruterbang pesawat pejuang dengan Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) itu bukan sahaja merupakan anak Melayu yang berjaya dan berwawasan, malah mahu memberi semula sumbangan kepada masyarakat.

Beliau merupakan penerima Anugerah Cemerlang Mendaki pada 15 September lalu.

Anugerah tersebut, yang diberikan kepada 73 anak Melayu/Islam tahun ini, mengiktiraf mereka yang berjaya meraih ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama.

Memuji pencapaian yang telah diraih Kapten Iskandar, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata:

"Saya bangga mendapat tahu bahawa Kapten Muhammad Iskandar telah menerima Anugerah Cemerlang Mendaki.

"Beliau merupakan seorang individu yang berdedikasi dan berkebolehan, dan telah bekerja keras dalam pendidikan serta kerjayanya dalam RSAF, sekali gus menerima pelbagai anugerah cemerlang."

Menambah, Dr Maliki berkata beliau yakin anak muda seperti Kapten Iskandar boleh menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain.

"Saya yakin Iskandar akan terus memberi yang terbaik dan akan melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Iskandar akan menjadi inspirasi kepada belia lain yang menyertai RSAF," ujar beliau.

Dalam satu pos Facebooknya, Kapten Iskandar, 29 tahun, berkata:

"Ketika saya masih muda dan tidak mampu membayar (yuran) tuisyen, Mendaki ada dan bersedia membantu.

"Saya sedar ia kini tanggungjawab saya untuk memberi balik supaya orang lain juga turut mempunyai peluang untuk berjaya.

"Ada pepatah yang mengatakan kita perlukan usahasama sekampung untuk membesarkan seorang anak, jadi terima kasih Mendaki."

Kapten Iskandar telah berjaya menggenggam Sarjana Muda (Kepujian kelas pertama) dalam Sains Politik dan Perhubungan Antarabangsa, serta Minor dalam Undang-Undang dan Masyarakat dari Universiti British Columbia, Canada, baru-baru ini.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menyampaikan Anugerah Cemerlang Mendaki tersebut kepada para penerima.

Encik Masagos, yang juga merupakan Pengerusi Mendaki, turut melahirkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian anak-anak Melayu.

"Buat kali pertama saya menyampaikan Anugerah Mendaki kepada siswazah kita yang terbaik dari ITE, Poly dan Universiti.

"Saya sangat terharu melihat begitu ramai anak-anak kita yang cemerlang tahun ini - begitulah pencapaian kita saban tahun, dan sangat ramai jika dibandingkan dengan zaman saya dahulu," kata Encik Masagos dalam pos di Facebooknya.

"Kita semua harus berbangga pada pencapaian anak-anak bangsa kita!" tambah beliau.

Bahkan, beliau sempat mengingatkan para penerima anugerah itu supaya terus berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya sempat berpesan setelah bergambar supaya mereka jangan lupa menabur bakti pada masyarakat," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg