SIRI 'BINCANG BH': PERBINCANGAN MEJA BUNDAR BERSAMA DR MALIKI OSMAN

Maliki: Yakini identiti Muslim demi sumbang kepada negara

Antara lain, panelis bincang isu kepelbagaian, usul dialog antara kaum dan masyarakat demi bina kepercayaan

Baru-baru ini, Berita Minggu menganjurkan perbincangan meja bundar yang mengundang pakar dan pemimpin masyarakat mengupas isu kepelbagaian dalam masyarakat. Isu kepelbagaian antara cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, seperti yang dijelaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam ucapannya di Parlimen Januari lalu. Sesi meja bundar itu sebahagian siri 'Bincang BH' bersama Anggota Parlimen (AP), termasuk Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, sebelum ini. Ikuti laporan NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg).

MASYARAKAT Melayu/Islam harus yakin dengan identitinya sebagai Muslim untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

"Ini juga tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk memastikan kita berjaya, negara dan masyarakat kita juga berjaya.

"Cabarannya ialah sesetengah orang dalam masyarakat kita kurang keyakinan diri dan identiti sebagai Muslim dan rakyat Singapura," ujar Dr Maliki.

Masyarakat perlu terus memikirkan cara mendaki kejayaan, dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya. Ini juga tidak bercanggah dengan identiti sebagai Muslim, Melayu dan rakyat Singapura, tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam perbincangan meja bundar anjuran Berita Minggu di pejabat akhbar ini baru-baru ini.

Perbincangan tersebut mengupas topik kepelbagaian dalam masyarakat dan cara terus bersatu-padu.

Mengenai kepelbagaian, Dr Maliki berkata ia timbul kerana kemajuan yang dinikmati telah mendedahkan masyarakat kepada pelbagai sumber informasi yang berbeza berbanding dahulu.

"Yang penting adalah bagaimana masyarakat harus terus menyumbang kepada pembangunan negara kerana kita tidak mahu menjadi masyarakat yang melembapkan pembangunan itu," ujarnya.

Sesi Bincang BH Bersama Dr Maliki itu turut disertai peguam Encik Abdul Rohim Sarip, yang juga Anggota Jawatankuasa Syarikat Kecil Dan Sederhana (SME) Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF); Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin; dan Penyelidik Bersekutu Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Azeemah Mustafa.

Panelis antara lain membincangkan tentang kepelbagaian dalam masyarakat dari segi perbezaan pendapat dan orientasi agama, dan menimbulkan keprihatinan mengenai sesetengah pihak yang bersikap tidak bertoleransi.

Encik Rohim khuatir akan pengaruh luar dan isu agama yang boleh menggugat toleransi dalam masyarakat.

"Saya berharap perkara ini tidak menular dan boleh ditangani. Kita sudah menghadapi banyak masalah lain seperti isu sosial dan sebagainya.

"Kita tidak mahu isu ini menjadi satu beban yang menyusahkan lagi pembangunan dan kemajuan masyarakat Melayu," ujar Encik Rohim.

Dr Mustafa pula menarik perhatian kepada peranan media sosial dalam memupuk kepelbagaian, dan anasir yang boleh menjurus ke arah kebaikan atau keburukan.

"Ia boleh mewujudkan atau meluaskan pecah belah dengan menyerlahkan perbezaan atau memupuk budaya dogmatisme.

"Namun, ia juga boleh meraikan kepelbagaian dengan memberi tumpuan kepada perkara yang dikongsi sama dan berdialog secara rasional antara pelbagai agama, kaum dan budaya," ujar Dr Mustafa.

Cik Azeemah pula ingin melihat kepercayaan yang lebih mendalam dibina - bukan sahaja antara kaum di sini, bahkan dalam masyarakat sendiri termasuk antara golongan tua dan muda - sebagai jambatan antara pelbagai kumpulan.

"Kepercayaan perlu diraih sewajarnya. Ia bukan sesuatu yang diraih dalam satu malam. Ini boleh dilakukan menerusi pelbagai kegiatan, berjumpa, bercakap dan bertukar fikiran," ujar Cik Azeemah.

Laporan tambahan oleh ERVINA MOHD JAMIL dan NURHUSNA HASSAN


"Majoriti masyarakat Melayu/Islam di sini bersikap toleransi tentang kepelbagaian, termasuk dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura. Kita juga harus menggalakkan majoriti dalam masyarakat supaya bersuara dan mengetengahkan pandangan."

- Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin, mengenai cara mengatasi pandangan minoriti yang tidak bersikap toleransi.

"Saya khuatir tentang pengaruh luar yang boleh mempengaruhi kefahaman kita tentang pelbagai isu, termasuk agama, yang boleh menggugat toleransi masyarakat. Saya berharap perkara ini tidak menular dan boleh ditangani. Kita sudah menghadapi banyak masalah lain, seperti masalah sosial. Kita tidak mahu isu ini menjadi beban yang menyusahkan lagi pembangunan dan kemajuan masyarakat Melayu."

- Peguam Encik Abdul Rohim Sarip, yang juga Anggota Jawatankuasa Syarikat Kecil Dan Sederhana (SME) Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

"Ramai anak muda sekarang lebih cenderung mendapatkan maklumat atau pandangan agama dari Internet. Kadangkala, fatwa dari pelbagai negara mungkin berlainan. Golongan ini mungkin kurang tahu ustaz atau ustazah setempat untuk bertanya. Perlu diperluas hubungan antara asatizah dan masyarakat..."

- Penyelidik bersekutu Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Azeemah Mustafa.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 21
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.