Allahyarhamha Maimon Sharif, 63 tahun, yang terkorban dalam kebakaran flat di Punggol Central, telah selamat dikebumikan Pusara Abadi hari ini.
Sekitar 100 orang, termasuk anggota keluarga dan sahabat handai, mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamha Maimon yang terkorban dalam insiden kebakaran flat di Punggol Central semalam. Allahyarhamha mendiami flat itu bersama anak keduanya, Encik Hafizal Mohamed Tahir.
Menerusi pos di Facebook semalam, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka memberikan respons terhadap kebakaran di sebuah unit di tingkat empat 163B Punggol Central sekitar 12.35 petang.
Paramedik mengesahkan Cik Maimon meninggal dunia di tempat kejadian sementara cucunya, tiga tahun, diselamatkan dari sebuah bilik dalam flat itu.
Menurut laporan bedah siasat, Allahyarhamha meninggal dunia disebabkan luka kebakaran.
Semasa ditemui Berita Harian, Encik Hafizal mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan membantu mereka menghadapi tempoh yang mencabar itu.