Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mangsa nahas di Bali 'pulang buat selamanya'

Apr 07, 2018 | 05:30 AM



KEPULANGAN mangsa nahas motosikal di Bali, Encik Mirkhan Ariffin Ahmad, ke Singapura, awal pagi kelmarin, disambut dengan doa penuh harapan oleh keluarga dan kenalan terdekat yang ingin melihatnya beransur pulih dan mendapat rawatan rapi di sini.



Namun, suratan yang sudah tertulis, kembalinya bapa tiga anak perempuan antara usia 19 tahun dengan 24 tahun itu ke Singapura, merupakan satu kepulangan buat selama-lamanya.



Selepas bertarung nyawa menyusuli kemalangan pada 1 April lalu, Encik Mirkhan, 43 tahun, seorang pegawai pengawasan kasino SkyCity Darwin yang masih warga Singapura walau menetap di Darwin sejak April tahun lalu, meninggal dunia sekitar dinihari semalam.



Mantan pegawai polis di Komand Latihan Polis (Tracom) itu patah tengkuk, tulang selangka kanan dan empat tulang rusuk dalam kejadian yang berlaku ketika beliau dan isteri, Cik Nadine Sulastri Djamani, 43 tahun, bercuti sambil menunggang motosikal di daerah perkampungan sekitar Bali.



Beliau yang koma telah dipindahkan menerusi khidmat ambulans udara dari Rumah Sakit Sanglah Denpasar Bali ke Hospital Besar Singapura (SGH), berkat sumbangan orang ramai yang menyalur $122,433 kepada Dana Get Mirkhan Home di laman pengumpulan derma orang ramai (crowdfunding) GoFundMe.



Menurut anak bongsunya, Cik Sorfinah, 19 tahun, keluarganya mengambil keputusan berat mengizinkan doktor mencabut palam pada alat bantuan pernafasan yang membantu Encik Mirkhan bernafas serta menghentikan pengaliran ubat yang meneruskan degupan jantungnya selepas pakar bedah otak mengesahkan aktiviti mindanya sudah terhenti.



"Kami enggan melihatnya terus menderita. Tubuhnya semakin mendingin dan lemah. Fungsi organ utamanya kian terjejas. Tiada apa yang dapat kami lakukan kerana kesan trauma kemalangan itu pada bahagian kepala dan mindanya terlalu membebani dirinya.



"Pilihan terbaik adalah dengan mengizinkan doktor mencabut palam pada alat bantuan pernafasan itu. Kami akan merindui keceriaan, budi baik, gurau senda, dan semangat wajanya dan turut berterima kasih kepada orang ramai yang menghulur bantuan derma dan sokongan moral buat kami di waktu sukar ini," jelasnya.



Seorang teman dari zaman kerjaya polis Allahyarham, Encik Abu Jalal Sarimon, kini pelukis berusia 53 tahun, pula menyifatkan arwah sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban demi mencapai cita-cita dan impian keluarga.



"Saya mendoakan agar beliau tenang di sana. Beliau seorang sahabat yang jujur serta pekerja yang berdedikasi," jelas Encik Abu Jalal.



Semangat ihsan orang ramai dapat dilihat apabila sasaran mengumpul $100,000 bagi membiaya kos rawatan hospital di Bali dan SGH serta khidmat ambulans udara dicapai dalam masa 24 jam oleh laman Dana Get Mirkhan Home yang dibuka Cik Sorfinah menerusi wadah GoFundMe.



Cik Sorfinah juga menjelaskan baki wang yang tinggal setelah melangsaikan kos perubatan ayahnya akan disalur kepada badan amal yang memerlukan.



Jenazah Allahyarham Mirkhan diuruskan di rumah keluarganya sekitar Elias Road sebelum dikebumikan di Pusara Aman, petang semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >