Mantan pengerusi masjid hadapi 14 tuduhan pecah amanah $370,000

MANTAN pengerusi Masjid Darussalam, Ab Mutalif Hashim, didakwa di mahkamah semalam atas 14 tuduhan pecah amanah melibatkan wang kutipan masjid dalam bentuk tunai sebanyak lebih $370,000.

Mutalif, 55 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu antara 2006 dengan 2013 semasa berkhidmat sebagai pengerusi bagi masjid itu dan Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) masjid tersebut.

Mutalif juga merupakan presiden Persatuan Adam.

Daripada 14 tuduhan tersebut, sembilan melibatkan Mutalif menggelapkan sebanyak $353,600 wang kutipan Masjid Darussalam dan memasukkannya ke dalam pelbagai akaun bank bagi tujuan yang tidak disahkan oleh LPM masjid.

Menurut kertas pertuduhan yang diperolehi Berita Harian, dia melakukan demikian selama lebih tujuh tahun antara 1 Januari 2006 dengan 31 Mac 2013.

Baki lima tuduhan pula melibatkannya menggelapkan sebanyak $18,291 wang kutipan Masjid Darussalam dan menggunakannya bagi perbelanjaan Persatuan Adam.

Perbelanjaan itu juga tidak disahkan oleh LPM.

Mutalif melakukan demikian selama hampir empat tahun antara 1 Januari 2006 dengan 30 November 2009.

Secara keseluruhan, dia menggelapkan sebanyak $371,891 wang kutipan Masjid Darussalam bagi memasukkannya ke dalam pelbagai akaun bank berbeza dan bagi perbelanjaan Persatuan Adam.

Persatuan itu ditubuhkan khusus untuk memberi sokongan kepada kaum lelaki, selain menjadi tempat rujukan bagi mereka mendapatkan bantuan.

Menurut kertas pertuduhan, Mutalif menggelapkan sebanyak $20,386 wang kutipan Masjid Darussalam secara tidak jujur antara 1 Januari dengan 31 Disember 2006 dan kemudian memasukkannya ke dalam pelbagai akaun bank bagi tujuan yang tidak disahkan LPM.

Dia melakukan demikian beberapa kali lagi termasuk melibatkan sejumlah $84,626 antara 1 Disember 2009 dengan 30 November 2010.

Antara 1 Januari dengan 31 Disember 2006 juga, dia menggelapkan $1,274 duit kutipan masjid itu dan menggunakannya bagi perbelanjaan Persatuan Adam.

Namun, perbelanjaan itu juga tidak disahkan LPM.

Dia melakukan demikian beberapa kali lagi termasuk melibatkan $5,832 antara 1 Januari dengan 31 Disember 2007.

Difahamkan Mutalif tidak hadir di mahkamah semalam kerana sakit. Kesnya akan didengar lagi di mahkamah pada 10 Ogos.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara seumur hidup atau sehingga 20 tahun dan didenda bagi setiap tuduhan.

Laporan lanjut: Muis: Kesalahan kewangan di masjid tidak boleh diterima

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.