Mantan Presiden S R Nathan kritikal setelah diserang angin ahmar

MANTAN Presiden Singapura, Encik S R Nathan, berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar pagi semalam, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Encik Nathan, 92 tahun, sedang dirawat dalam Unit Penjagaan Rapi (ICU) di Hospital Besar Singapura (SGH).

Presiden Dr Tony Tan Keng Yam dalam posnya di Facebook berkata bahawa beliau dan isteri, Cik Mary Tan, berasa sedih apabila mendapat berita itu.

"Ingatan dan doa kami adalah untuk isteri dan keluarga beliau,'' kata Dr Tan. Beliau dan isteri telah mengunjungi Encik Nathan di SGH petang semalam.

Turut mengunjungi beliau ialah pemangku Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, yang mengambil alih tugas Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang sedang mengadakan lawatan rasmi selama enam hari ke Washington, serta mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi dan mantan Menteri Negara Kanan, Encik Zainul Abidin Rasheed.

Encik Zainul memberitahu pemberita bahawa Encik Nathan tidak sedarkan diri ketika beliau mengunjunginya semalam.

Melahirkan rasa terkejutnya, Encik Zainul berkata beliau baru bertemu Encik Nathan minggu lalu.

"Beliau berada dalam keadaan baik dan bercakap mengenai sumbangan masyarakat Melayu-Islam,'' kata Encik Zainul, merujuk kepada pelancaran buku Majulah! 50 Years of Malay/Muslim Community in Singapore atau Majulah! 50 Tahun Masyarakat Melayu/Islam di Singapura yang dilancarkan Encik Nathan Mei lalu.

April lalu, Encik Nathan juga diserang angin ahmar dan dirawat di SGH hampir tiga minggu.

Encik Nathan merupakan Presiden yang paling lama berkhidmat selama 12 tahun. Beliau berkhidmat sepanjang dua tempoh sebagai ketua negara dari 1999 hingga 2011.

Pada 2013 Encik Nathan diberi anugerah tertinggi Hari Kebangsaan - Darjah Temasek (Kelas Pertama).

Encik Nathan pernah bekerja sebagai seorang pekerja sosial dan kemudian dalam perkhidmatan awam bermula dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan seterusnya sebagai ketua Jabatan Keselamatan dan Risikan dan diplomat.

Di pelancaran buku yang ditulis Encik Nathan bertajuk An Unexpected Journey - Path to the Presidency pada 2011, PM Lee telah menyifatkan Encik Nathan sebagai "seorang anak Singapura yang baik" yang banyak membantu warga Singapura dan sering meletakkan kepentingan negara daripada kepentingan diri sendiri.

Encik Nathan dan isteri, mantan guru Cik Urmila Nandey, mempunyai dua orang anak - seorang lelaki dan seorang perempuan dan tiga cucu.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.