MAS tutup Falcon Private Bank di Singapura, denda DBS dan UBS susuli siasatan 1MDB

PENGUASA Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan pada Selasa (11 Okt) ia telah menarik balik status bank komersial Falcon Private Bank Ltd, Cawangan Singapura (Falcon Bank), kerana kegagalan serius dalam kawalan antipengubahan wang haram (AML) dan kelakuan tidak wajar oleh pengurusan kanan di ibu pejabatnya di Switzerland dan juga cawangan Singapura.

MAS berkata pengurus cawangan Singapura Falcon Bank, Encik Jens Sturzenegger, ditahan oleh Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) pada 5 Okt.

Falcon Bank institusi kewangan kedua selepas BSI Singapura yang terpaksa menghentikan operasi di sini berkaitan siasatan ke atas 1MDB di negara ini.

MAS juga mengenakan denda kewangan sebanyak $1 juta ke atas DBS bagi 10 pelanggaran dan $1.3 juta terhadap UBS kerana 13 pelanggaran Notis 626 MAS - Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Pengganasan.

Kedua-dua bank juga mesti melantik pihak bebas untuk mengesahkan bahawa langkah pembetulan telah "dilaksana dengan berkesan" dan melaporkan dapatan mereka kepada MAS.

Bank pusat Singapura itu berkata tindakan ke atas tiga bank tersebut menyusuli peperiksaan penyeliaan ke atas aliran dana berkaitan 1MDB, syarikat pelaburan kerajaan Melaysia, yang melalui bank-bank itu dari Mac 2013 hingga Mei 2015.

Tindakan MAS juga berlaku sehari selepas dua lagi bekas pegawai di BSI Singapura didakwa di mahkamah dengan kesalahan berkaitan 1MDB.

Pengarah Urusan MAS, Encik Ravi Menon, berkata dalam satu kenyataan pada Selasa: "Mengekalkan Singapura sebagai pusat kewangan bersih dan dipercayai adalah tanggungjawab bersama. Lembaga pengarah dan pengurusan kanan setiap institusi kewangan memainkan peranan penting. Mereka mesti mewujudkan mekanisme mantap untuk mengesan kegiatan mencurigakan, menggalak kesedaran risiko kukuh dalam kalangan kakitangan mereka, dan memperkasa pegawai pematuhan dan pengurusan risiko mereka. Yang paling penting, mereka mesti menetapkan dari atas - bahawa keuntungan tidak lebih utama daripada kelakuan betul."

MAS berkata ia telah mengenakan denda kewangan sebanyak $4.3 juta ke atas Falcon Bank kerana 14 pelanggaran Notis 1014 MAS - Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Pengganasan.

Pelanggaran itu termasuk kegagalan menilai dengan secukupnya penyelewengan dalam kegiatan berkaitan akaun pelanggan, dan memfailkan laporan transaksi mencurigakan.

MAS berkata siasatannya mendapat manfaat daripada kerjasama rapat dengan pelbagai rakan pengawal selia di luar negara, khususnya Penguasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland (Finma).

Ia berkata pelanggan Falcon Bank diberi jaminan bahawa bank itu di sini mempunyai sokongan penuh daripada ibu pejabatnya yang kukuh dari segi kewangan. MAS juga sedang bekerjasama rapat dengan Finma untuk menyelia penutupan teratur cawangan bank itu di Singapura.

Mengenai DBS dan cawangan UBS Singapura, MAS berkata ia telah menyelesaikan pemeriksaannya ke atas kedua-dua bank berhubung aliran dana berkaitan 1MDB dan mendapati tiada kelemahan kawalan yang meluas.

Sebaliknya, kecuaian kawalan "berlaku pada pegawai bank tertentu yang gagal melaksana tugas mereka dengan berkesan", kata MAS.

Dalam kenyataannya itu, MAS juga berkata ia sedang menyiapkan penilaiannya terhadap Standard Chartered Bank, Cawangan Singapura, dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Ia juga telah merujuk transaksi berkaitan 1MDB yang diproses oleh firma pengurup Raffles Money Change kepada CAD bagi siasatan susulan mereka.

Waktu Solat

Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:11
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,919.370 -9.210