Masagos gesa warga Singapura sertai usaha lawan denggi

WARGA Singapura perlu sama-sama membantu mencegah demam denggi, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, selepas satu pemeriksaan denggi.

Sebanyak 86 tempat pembiakan nyamuk ditemui di kelompok Tampines Polyview, kata beliau dalam satu pos Facebook pada Jumaat (8 Jan).

"Enam puluh di dalam rumah, 19 di kawasan umum, enam di premis lain, dan satu di tapak binaan," tulis beliau.

Encik Masagos, yang juga seorang Anggota Parlimen GRC Tampines, disertai pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam rangka lawatan pemeriksaan di Tampines Polyview.

Ia kelompok denggi terbesar setakat ini, dengan 195 kes denggi yang dilaporkan pada Khamis.

"Selain pemeriksaan dan menyembur minyak di longkang secara tetap, para pegawai menjalankan pemeriksaan pada waktu malam dan pada hujung minggu, merangkumi semua unit kediaman," kata Encik Masagos.

Semasa pemeriksaan, mereka menemui nyamuk dewasa dan larva dalam beberapa perangkap Gravitraps, menunjukkan tahap kegiatan nyamuk tinggi, walaupun tiga pusingan pemeriksaan rumah dan pemusnahan habitat pembiakan telah dijalankan.

"Kita perlu mengelakkan pembiakan nyamuk. Tetapi pegawai NEA dan Majlis Bandaran tidak boleh mencapai ini sendirian," katanya.

"Saya ingin menyeru kepada sukarelawan supaya turun ke CC Tampines West pada Ahad, 17 Januari pada 2 petang untuk membantu kami mengagih bahan penghalau kepada penduduk di kawasan terlibat dan mewujudkan kesedaran mengenai situasi denggi dan juga untuk menggalak mereka mengamalkan lima langkah Mozzie Wipeout. #stopdengue."

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.