ENCIK Masagos Zulkifli Masagos Mohamad memulakan hari pertamanya sebagai Menteri Sekitaran dan Sumber Air hari ini, Jumaat, dengan menyampaikan pensijilan kepada 16 bangunan yang mengamalkan langkah jimat air dengan baik.
Dalam ucapan sulungnya bagi potfolio barunya itu, Encik Masagos menarik perhatian Singapura harus memantau bekalan airnya dengan teliti, lebih-lebih lagi dengan jumlah hujan yang berkurangan dan kesan El Nino dijangka memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu, warga dan pertubuhan setempat juga harus mengurus penggunaan air mereka dengan lebih baik.
Enam bangunan - Menara 3 Pusat Kewangan Marina Bay (MBFC), Menara 1 dan 2 MBFC, Pusat Kewangan Ocean, Novotel Singapore Clarke Quay, One Raffles Link serta Penjara Tanah Merah dan Penjara Wanita Changi - meraih pensijilan emas Bangunan Jimat Air (Web).
Sepuluh lagi bangunan termasuk mahkamah, kilang dan sekolah pula menerima pensijilan perak.