Mati tercekik ondeh-ondeh: Koroner putuskan sebagai kemalangan sedih, gesa hati-hati

SEORANG penghuni berusia 73 tahun sebuah rumah penjagaan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas tercekik kuih ondeh-ondeh yang menghalang saluran udaranya, mahkamah koroner diberitahu pada Selasa (6 Sep).

Mendapati kematian Cik Letchimi N. Anisamy satu "kemalangan sedih", Koroner Negara Marvin Bay berkata kematian beliau menekankan peri perlu berhati-hati apabila orang tua memakan pulut dan makanan berbentuk ketul atau mudah dibentuk, seperti kuih durian, bebola ikan dan ondeh-ondeh.

"Langkah berjaga-jaga praktikal untuk ditimbangkan termasuk memotong ondeh-ondeh itu menjadi bahagian-bahagian lebih kecil, daripada menghulurkannya dalam bentuk penuhnya di atas napkin, yang dilakukan dalam kes ini," kata beliau.

Encik Bay berkata jika ondeh-ondeh dihidang di atas pinggan siap dengan sudu garpu, ia akan membuat seseorang itu tahu beliau boleh dan harus memakannya pada kadar selesa dan santai bagi dirinya.

Air minum juga harus disediakan untuk lebih berhati-hati, bagi melincirkan peredaran makanan ke saluran penghadaman, terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah pengliuran, tambah beliau.

Dalam kes itu, Cik Letchimi makan dalam keadaan menyandar.

Encik Bay berkata tidak duduk tegak boleh memburukkan lagi risiko peredaran makanan pulut atau berbentuk ketul hingga tercekik di saluran udara, daripada memasuki salur penghadaman, dan menghalang keupayaan seseorang bernafas.

Jika ini berlaku, makanan tersebut mungkin tidak dapat dikeluarkan dengan cepat untuk menyelamatkan seseorang daripada kecederaan otak kekal atau kematian.

Kejadian tercekik itu berlaku di Ren Ci @ Bukit Batok Street 52 pada kira-kira 11.30 pagi pada 18 Mac.

Seorang pembantu terapi rawatan menjalankan kelas kegiatan membuat ondeh-ondeh dan memberi beberapa kuih itu kepada penghuni selepas mendapat kebenaran daripada jururawat am.

Selepas memasukkan kuih itu ke dalam mulutnya, Cik Letchimi mula menunjukkan rasa tidak selesa. Beliau melambai kepada jururawat bagi mendapatkan bantuan dan jururawat itu segera pergi mengambil air.

Jururawat am Nithiak Kalyani Daruman, 30 tahun, menepuk-nepuk belakang Cik Letchimi dan kemudian melakukan tujahan abdomen bersama dua lagi jururawat.

Cik Letchimi batuk mengeluarkan air liur bersama beberapa ketulan kecil makanan berwarna hijau.

Sebuah mesin sedutan digunakan sementara menunggu ambulans tiba.

Paramedik berjaya mengeluarkan seketul ondeh-ondeh dari Cik Letchimi, tetapi beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 4.19 petang di Hospital Besar Ng Teng Fong.

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:35
Maghrib
7:17
Isyak
8:30
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,348.540 +11.820