Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN AGM MENDAKI

Mendaki sokong pendidikan individu di setiap peringkat kehidupan

Jun 23, 2023 | 12:29 PM



Yayasan Mendaki terus memperbaharui tumpuan dan meluaskan misi menyokong pendidikan individu dan keluarga merentas peringkat kehidupan yang berbeza menerusi pelbagai program yang dijalankan bagi membolehkan mereka mencapai kestabilan, keyakinan diri dan mobiliti sosial.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Pengerusi Mendaki, berkata usaha itu telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu dan diperkukuhkan lagi selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-34 badan itu pada 17 Jun lalu.

“Di setiap peringkat kehidupan, mereka mempunyai keperluan berbeza. Kita perlu melakukan perkara berbeza dan menyokong orang-orang berbeza supaya sedang mereka bergerak daripada peringkat kehidupan mereka, dari satu peringkat ke peringkat lain, mereka terus mencapainya sebagai sebuah keluarga, kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

“Justeru di peringkat berbeza kehidupan mereka, sama ada prasekolah, sekolah dan kerja, Mendaki telah menjuruskan dirinya untuk melihat kepada semua peringkat kehidupan ini dan memberi sokongan. Kita juga telah menubuhkan, menerusi sains dan kajian, cara lebih berkesan untuk mendapatkan kesan yang kita cari.”

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Wisma Mendaki, di Kee Sun Avenue, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Mendaki, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, bagi memaklumkan keputusan AGM itu dan memberi kemas kini tentang program yang dianjurkan badan tersebut sepanjang 2022, yang juga ulang tahunnya yang ke-40.

Dalam ucapannya di sambutan ulang tahun Mendaki pada Oktober 2022, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata misi Mendaki untuk memperbaiki keadaan masyarakat melalui pendidikan kekal relevan dan penting, namun dalam konteks hari ini, badan bantu diri itu mesti mentafsirkan pendidikan secara lebih meluas.

Encik Zaqy berkata Mendaki telah melihat bahagian dan ruang untuk ia meluaskan campur tangannya, dengan menggunakan data dan aset dalam masyarakat.

“Melangkaui pendidikan aliran utama dan program seperti TTFS (Subsidi Yuran Pengajian Tinggi) dan skim pinjaman untuk menyokong pelajar, kami kini telah bergerak ke campur tangan di peringkat prasekolah, kerana kami rasa pelaburan di situ adalah penting,” katanya, merujuk kepada program KelasMateMatika (KMM) yang mengajar konsep asas matematik kepada kanak-kanak prasekolah dan melibatkan ibu bapa mereka.

Lebih 900 kanak-kanak dan 800 ibu bapa menyertai program itu pada 2022, satu peningkatan berbanding lebih 400 kanak-kanak dan 300 ibu bapa pada 2020.

Satu kajian yang dijalankan Pejabat Penilaian Program (PEO) Mendaki mendapati bahawa program itu kekal berkesan apabila ia ditingkatkan dengan lapan dalam 10 murid tidak memerlukan sokongan pembelajaran di Darjah 1.

Bagi menggalak pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan anggota masyarakat, Encik Zaqy berkata Mendaki telah meluaskan jangkauannya ke hampir empat kali ganda, daripada 500 individu pada 2021 kepada 2,000 individu pada 2020 menerusi kerjasama dengan SSG (SkillsFuture Singapore) dan NTUC.

“Ini bagi menyediakan sokongan kerjaya untuk anggota masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan campur tangan kerjaya, serta latihan dan peningkatan kemahiran,” tambahnya.

Secara keseluruhan, Mendaki telah menjangkau kepada lebih 86,000 individu dan penerima bantuan sepanjang 2022, satu peningkatan berbanding lebih 73,000 pada 2021.

Ini termasuk hampir 10,000 pelajar yang menerima TTFS dan hampir 8,400 pelajar yang menyertai program pendidikan Skim Tuisyen Mendaki (MTS) pada 2022.

Encik Zaqy berkata peningkatan dalam bilangan jangkauan itu adalah bukti strategi yang dilaksanakan, yang termasuk mendekatkan lagi Mendaki kepada masyarakat.

Ini dilakukan dengan menubuhkan pusat-pusat satelit untuk menyokong 11 rangkaian M³@Bandar di serata Singapura yang membolehkannya mendekati lebih 80 peratus masyarakat Melayu/Islam di sini.

Mendaki mempunyai lima pusat satelit dan tiga ruang belia di kolej-kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang menempatkan Penasihat Penjagaan, yang antara lain memastikan masyarakat mendapat pertolongan yang diperlukan atau dihubungkan dengan pihak atau agensi yang dapat menghulurkan bantuan relevan.

Pada 2022, Penasihat Penjagaan itu menguruskan lebih 17,000 kes, satu peningkatan 42 peratus berbanding 2020.

Turut penting, katanya, ialah memanfaatkan aset dalam masyarakat dengan membangun rangkaian karyawan.

Ia kini mempunyai rangkaian karyawan dalam sektor IT, perbankan dan kewangan serta sains hayat. Inisiatif itu bermula dengan 30 karyawan pada 2022, dan jumlah itu telah meningkat kepada sekitar 400 hari ini.

Karyawan itu bekerjasama dengan Mendaki untuk menganjurkan ceramah kerjaya dan perjalanan pembelajaran untuk belia.

Encik Zaqy meluahkan rasa berbesar hati melihat ramai tampil membimbing pelajar. Sekitar 70 peratus penerima TTFS dan Anugerah Mendaki yang didekati badan bantu diri itu juga menyatakan kesediaan menyumbang kembali dan membantu masyarakat.

“Jadi kini ia mengenai bagaimana kami mengerah mereka, menggunakan mereka dalam masyarakat, di M³@Bandar, untuk bergotong-royong dan dengan harapan ini dapat mempercepatkan kejayaan generasi seterusnya,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >