Mendiang S R Nathan main peranan genting dalam hubungan dua hala: Pesuruhjaya Tinggi M'sia

PETALING JAYA: Mantan presiden S R Nathan, yang meninggal dunia pada usia 92 pada Selasa (23 Ogos), memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan rapat antara Singapura dan Malaysia agar kekal stabil semasa tempoh mencabar, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Ilango Karuppannan.

"Beliau terlibat aktif dan memainkan peranannya dalam usaha membantu menstabilkan hubungan antara negara kita," katanya.

Mendiang Encik Nathan berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia pada 1988, semasa beberapa isu dua hala, termasuk soal air dan tanah kereta api, belum selesai.

Datuk Ilango, yang memegang peranan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura pada April, berkata beliau bertemu mendiang dua kali, pertama semasa majlis pelancaran sebuah buku di Singapura pada Mei.

Kedua pada Julai apabila Datuk Ilango mengadakan kunjungan hormat ke atas mendiang di pejabatnya di Universiti Nasional Singapura (NUS), dan mereka berbual-bual lebih satu jam.

"Beliau seorang yang sangat lembut, seseorang yang membuat anda berasa selesa dan senang serta-merta," kata Datuk Ilango mengenai pertemuan tersebut.

Selain berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, mendiang Encik Nathan berkhidmat sebagai duta besar ke Amerika Syarikat dan duta kelana.

Mendiang dilahirkan di Singapura tetapi menghabiskan usia mudanya di Muar, Johor, dan masih mempunyai saudara-mara di sana.

Datuk Ilango berkata beliau terkejut apabila mendiang memberitahunya beliau bekerja sekejap dalam perkhidmatan awam Johor selepas Perang Dunia Kedua.

"Beliau berkata beliau masih mendapat pencen dari Johor, dan walaupun beliau sudah lama tidak bekerja di sana, beliau masih menerima pencen kira-kira RM70 sebulan," katanya.

Datuk Ilango berkata mendiang juga sering memandu ke Malaysia untuk menziarahi rakan-rakan dan saudara-mara.

"Beliau juga memberi saya nombor pendaftaran keretanya kerana mahu memohon permit masuk kenderaan untuk memandu ke Malaysia, tetapi beliau jatuh sakit tidak lama selepas itu dan terpaksa membatalkan rancangannya," katanya. - The Star/Asia News Network

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:18
Isyak
8:31
3 HR PSI: 67
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.