Perjalanan 10 tahun ‘Beautiful People’ dan Wira

Mengejar impian melalui ikatan perhubungan

Dua badan sukarela yang khusus dibentuk untuk wanita - Beautiful People dan Persatuan Untuk Wanita Dalam Pemulihan (Wira) - menyambut ulang tahun ke-10 mereka tahun ini dengan menyingkap pencapaian dan mengatur rancangan masing-masing demi memberi khidmat yang lebih baik pada masa depan. DEWANI ABBAS (dewani@sph.com.sg) meninjau perjalanan dan harapan mereka.

APAKAH antara nilai yang sangat dihargai manusia jika bukan hubungan erat dan mesra sesama insan.

Atas dasar kepercayaan tentang kuatnya pengaruh hubungan baik antara manusia ini, kumpulan dinamakan Beautiful People atau Insan Menawan telah dibentuk - 10 tahun lalu untuk golongan wanita sahaja - dengan tujuan membantu mereka mencapai impian atau merubah kehidupan menerusi jalinan hubungan.

Mereka mungkin atau tidak menghadapi sesuatu kemelut dalam hidup. Apa pun, Beautiful People adalah wadah untuk mereka mengejar hujung pelangi yang diidamkan bersama pembimbing atau mentor melalui pelbagai program.

Baru-baru ini, kumpulan bersifat berbilang kaum itu menyambut ulang tahun ke-10. Setelah sedekad terbentuk, kumpulan itu memerlukan lebih ramai tampil menjadi mentor sukarelanya.

Liana (bukan nama sebenar), 17 tahun, pelajar menengah dan tinggal di rumah tumpangan Pertapis, adalah antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan sejak menyertai Beautiful People pada 2013.

Dia ditemani ibunya, Cik Nora (bukan nama sebenar), 36 tahun, sebagai contoh besarnya kesan hubungan baik ibu-anak, semasa ditemui di rumah salah seorang mentor The Beautiful People, kaunselor Cik Shahrul Noentil, 48 tahun.

"Dahulu saya seorang yang malu nak bercakap. Tapi, sejak sertai Beautiful People perlahan-lahan saya jadi berani (bercakap).

"Semasa kami ada kem keluarga, saya telah berucap kepada peserta dari rumah tumpangan lain...saya dapati bahawa saya sebenarnya bukan orang jenis pemalu," kata Liana riang.

Cik Nora, ibu tujuh anak pula berkata: "Dia dah banyak berubah, sedia kongsi perasaannya dengan saya dan nampak dah boleh selesaikan masalahnya sendiri."

Liana, anak sulung dalam keluarganya, merancang meneruskan pelajarannya selepas lulus peperiksaan peringkat 'N' dan mahu memasuki bidang khidmat sosial atau pendidikan awal kanak-kanak.

Ibu dua anak yang mahu namanya disiarkan sebagai Cik Dian Syahidah sahaja, pula turut menyatakan banyak kebaikan yang beliau dapati sejak menyertai Beautiful People dalam program yang dinamakan Baby Reader atau Baca Untuk Bayi.

Ia program yang bertujuan menyokong ibu muda dalam aspek kemahiran menjadi ibu bapa dan mengurus kewangan.

Cik Dian, 19 tahun, anak kelima dalam sembilan beradik dan mempunyai dua anak - lelaki berusia tiga tahun dan perempuan berusia setahun - berkata bahawa sesi berbincang dengan ibu mentor amat bermanfaat baginya sebagai ibu muda.

Beliau, yang bekerja di bahagian penyediaan makanan dan minuman, kini menanti saat mahu bernikah dengan tunangnya yang berusia 21 tahun selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menerangkan lebih lanjut, Cik Meena Mylvaganam, 50-an tahun, salah seorang penggerak Beautiful People sejak 2010, menerangkan pergerakan itu kini bekerjasama dengan lima rumah tumpangan, salah satunya Pertapis.

"Mentor yang dipanggil 'kakak' dalam pergerakan ini juga belajar sama dengan menti atau 'adik' mereka, seperti lebih menghargai keluarga kami.

"Dan semakin hubungan mereka berkembang, si 'adik' akan sedar mereka ada kekuatan dan akan diberi peluang untuk mencapainya," jelas Cik Meena.

Beliau menambah: "The Beautiful People ini juga sentiasa berubah dalam erti kata kami sentiasa menambah program baru.

"Misalnya, kami bermula 10 tahun lalu sebagai satu program di bawah Beyond Social Services (pertubuhan yang memberi sokongan kepada belia berisiko).

"Pada masa itu kami adakan program mentor untuk remaja perempuan berisiko. Kini, selepas 10 tahun, kami telah memperkenalkan program baru seperti Baby Reader dan Free For Good iaitu program untuk pesalah perempuan sebelum mereka keluar penjara.

"Tahun ini, satu lagi pembaharuan telah diperkenalkan iaitu program Heroes' Journey atau Perjalanan Hero yang dibuka kepada 'adik' lelaki pula dengan tujuan sama seperti untuk 'adik' perempuan."

Beautiful People, yang kini merupakan satu entiti bebas, diasaskan oleh Cik Melissa Kwee, 44 tahun.

Ketika ini ia mempunyai sekitar 100 pasangan mentor dan menti. Namun, oleh kerana mereka bergerak dalam suasana kekeluargaan, seorang menti mungkin mempunyai lebih daripada seorang mentor.


Kenali kumpulan 'beautiful'

BEAUTIFUL People dibentuk pada 2006 sebagai satu program bimbingan untuk remaja perempuan berisiko di bawah Beyond Social Services, sebuah pertubuhan yang membantu remaja sedemikian.

Pada tahun lalu ia tidak lagi bergerak di bawah Beyond dan berfungsi sendiri sebagai pergerakan sukarela.

Ia diasaskan Cik Melissa Kwee, 44 tahun, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) Pusat Sukarela dan Kedermawanan Nasional atau National Volunteer and Philanthropy Centre (NVPC).

Beautiful People yang bersifat berbilang kaum, berfungsi sebagai wadah untuk membina jambatan perhubungan dengan remaja perempuan berisiko. Beautiful People boleh dihubungi melalui e-mel contact@beautifulpeople.org.sg atau di Facebook-nya.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.