Menteri tegur AP WP 'timbulkan kebencian dan kemarahan'

MENTERI Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Tan Chuan-Jin, berkata Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Png Eng Huat, bertindak "menimbulkan kebencian dan kemarahan" apabila beliau mempersoal mengapa Encik Tan dan sekumpulan anggota akar umbinya diberi pelepasan dipercepat di Pusat Pemeriksaan Tuas Ahad (17 Jul) lalu.

Encik Png, AP Hougang, berkata di laman Facebook beliau pada Isnin bahawa beliau dan penduduknya, yang pergi ke Johor untuk makan duurian, terpaksa menunggu "berjam" tetapi nampak Encik Tan dan beberapa orang yang bersama beliau dibenarkan menggunakan kaunter yang dibuka khas bagi mereka.

"Seorang daripada penduduk saya berusia 89 tahun dan seorang lagi cedera semasa lawatan. Jika dua penduduk tua ini menunggu dan beratur dengan sabar... begitu juga semua sukarelawan dan anggota akar umbi saya," tulis beliau.

Selepas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan dengan jelas bahawa memberi menteri Malaysia dan Singapura pelepasan cepat adalah amalan biasa, Encik Tan, AP GRC Marine Parade, menaikkan pos di laman Facebook beliau bahawa Encik Png cuba "mempolitikkan isu itu".

Beliau berkata pos Encik Png "bertujuan menimbulkan kebencian dan kemarahan, ditujukan bukan pada saya sahaja, yang saya faham dari segi politik, bahkan penduduk dan sukarelawan saya, serta para pegawai kita yang menjamin sempadan kita".

Encik Tan berkata beliau pergi ke Johor untuk lawatan makan durian bersama penduduknya, serta membuat lawatan rasmi ke rumah terbuka Hari Raya yang diadakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Dalam perjalanan pulang, ICA memudahkan pelepasan untuk saya dan pegawai keselamatan saya yang membawa senjata api mereka, dan juga penduduk dan sukarelawan yang menyertai saya di dalam bas saya," katanya.

ICA berkata kecuali bas yang membawa Encik Tan, 19 bas lain dalam kumpulan beliau beratur dan dilepaskan melalui saluran biasa.

Encik Tan berkata: "Encik Png seolah-olah menerima bahawa adalah munasabah penjawat jawatan kita dipermudah; jika demikian, orang lain dalam bas itu perlu dilepaskan juga supaya bas boleh beredar dan tidak menambahkan bilangan kenderaan yang beratur."

Beliau menegaskan Encik Png memberi gambaran beliau menunggu lama untuk melepasi imigresen sedangkan masanya ialah setengah jam.

Encik Tan menegaskan juga bahawa beliau terserempak AP GRC Nee Soon, Encik Louis Ng, dan kumpulannya di pusat pemeriksaan, dan beliau, seperti Encik Png, juga terpaksa menunggu dan beratur.

Mengenai penduduk cedera dan warga tua yang bersama Encik Png, Encik Tan berkata: "Sesiapa yang memerlukan bantuan khas boleh mendekati pegawai ICA kita yang sedang bertugas."

Ketika dihubungi akhbar The Straits Times, Encik Png berkata isu itu bukan mengenai Encik Tan, tetapi orang-orang yang dalam kumpulan beliau yang diberi pelepasan dipercepat.

Perkara itu beliau tegaskan sekali lagi dalam satu lagi pos Facebook.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.