SEKITAR LEBARAN: KONGSI KENANGAN

MUFTI: Sehari sebelum Raya tugas saya tangkap ayam

Hari Raya merupakan perayaan yang sangat istimewa bagi umat Islam di dunia. Ia merupakan masa bagi setiap individu mengeratkan lagi tali silaturahim dan bermaaf-maafan antara keluarga, sanak saudara dan rakan. Setiap individu juga pasti mempunyai kenangan, baik yang lucu, manis mahupun pahit, semasa Hari Raya. Ikuti kisah lima tokoh masyarakat daripada pelbagai bidang – Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, Cik Halimah Yacob, Puan Noor Aishah Salim, Taufik Batisah dan Fandi Ahmad – mengongsi kenangan lebaran mereka. Wartawan Berita Harian, IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg), ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan HAIRIANTO DIMAN (mdhairi@sph.com.sg) melaporkan.

SEBAGAI Mufti, beliau mempunyai tugas penting setiap Lebaran iaitu mengisytiharkan awal Syawal selepas sebulan berpuasa serta mengimamkan solat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah Raya.

Namun, menyingkap sambutan Hari Raya semasa beliau membesar di kampung Pasir Panjang lebih 30 tahun lalu, Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata beliau juga diberi tugas 'penting' oleh orang tuanya iaitu menangkap ayam untuk disembelih bagi juadah Raya.

"Arwah Abah tak berminat makan daging ayam yang dibeli di pasar. Kami pelihara ayam sendiri. Tugas saya memastikan ayam sudah bersedia tiga hingga empat hari sebelum Raya dan sehari sebelum Raya tugas saya adalah tangkap ayam," ujar Dr Mohamed Fatris.

Dr Mohamed Fatris sekeluarga juga banyak menghabiskan masa di rumah menyambut tetamu bagi minggu pertama dan kedua Syawal.

"Memandangkan arwah Abah merupakan guru agama yang mempunyai ramai murid... selepas selesai solat di masjid, kami pulang ke rumah dan murid arwah Abah akan menderu-deru datang dari masjid menziarah kami. Saya pula tukang siapkan minuman dan pastikan kuih tidak kehabisan.

"Pada minggu ketiga atau keempat, barulah arwah Abah mengajak kami sekeluarga ke kampung di Johor menziarahi datuk, nenek dan sebagainya," katanya.

Kini, beliau sekeluarga pula mengisi masa hari pertama Syawal bersama keluarga ibu dan mentuanya selepas selesai solat Aidilfitri.

Bagi Dr Mohamed Fatris, lontong dan sambal goreng juga merupakan hidangan yang 'wajib' setiap kali menjelang Raya.

"Tanpanya, maka tak berserilah Hari Raya. Cuma sejak saya mengalami masalah gout, bahan sambal gorengnya terpaksa diubah sedikit. Kalau dulu, mesti ada paru, udang dan daging, tapi sekarang cukup dengan mana yang boleh dimakan seperti tempe dan tauhu. Isteri juga gunakan daging ayam," ujarnya.

Bagi kelengkapan Lebaran, beliau berkata segala persiapan telah disediakan sebelum Ramadan. Namun, apabila ditanya tema warna baju Raya keluarganya tahun ini, Dr Mohamed Fatris tersenyum dan sekadar berkata: "Adalah... tapi tak boleh diberitahu sekarang."

Sejak dilantik menjadi Mufti pada 2011, beliau juga sering disapa orang yang tidak dikenalinya apabila berjalan Raya.

"Saya rasa itu satu perkara yang unik untuk saya bertegur sapa dengan penuh mesra dengan orang yang kita tak kenali tapi saya sangat menghargainya.

"Kenal itu tak menjadi syarat untuk kita merasakan keindahan persaudaraan di antara kita dan saya rasa itulah kemurnian perasaan yang lahir daripada sebulan Ramadan yang kita lalui," ujarnya.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 24
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.