SETIAP kali menjelang sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) atau Hari Keharmonian Kaum di sekolah, seorang pelajar lelaki Cik Faraliza Zainal, Encik Muhd Nur Hakim Selamat, pasti menulis dan memberikan kad kepada semua guru di sekolahnya.
Menurut Cik Faraliza, pelajar yang menghidap kelewatan perkembangan global (GDD) itu amat meminati isu yang melibatkan tokoh politik, terutama di Singapura.
Malah, dalam kad yang diberikan kepada guru di My Islamic Journey Education Hub itu, Encik Muhd Nur Hakim, 21 tahun, pelajar sepenuh masa institut tersebut, menyertakan keratan gambar mengenai mendiang Encik Lee Kuan Yew, bendera Singapura dan kekata 'Selamat Hari Jadi Singapura'.
"Saya rasa itu kali pertama saya menerima kad untuk NDP dan Hari Keharmonian Kaum," kongsi Cik Faraliza, pengasas dan pengarah My Islamic Journey Education Hub mengenai keprihatinan pelajarnya yang mempunyai tahap kecerdasan otak seperti budak berusia enam tahun.
Bagi Cik Faraliza, yang anak sulungnya menghadapi masalah autisme, beliau amat mengalu-alukan usaha pemerintah, terutama dalam NDP kali ini, meraikan semangat inklusif.
Namun, menurutnya, pendidikan dan kesedaran terhadap golongan yang mempunyai keperluan khas perlu diterapkan dalam diri anak-anak semasa mereka di sekolah.
"Saya pernah mengalami keadaan di mana jiran saya sendiri menarik anak perempuannya yang masih kecil apabila anak saya yang mempunyai autisme melambai ke arahnya.
"Bayangkan perasaan saya sebagai seorang ibu," ujarnya.
Sedang Singapura mengorak langkah menuju ke arah SG100, Cik Faraliza berharap pendidikan melibatkan golongan yang memerlukan keperluan khas ini dapat dipertingkat.
"Untuk menjadi seorang yang berjaya, ia tidak bermakna anda harus bijak dalam IQ sahaja.
"Kecerdasan emosi atau EQ juga penting. Dengan adanya sifat ihsan itu, barulah anda boleh dikatakan berjaya dan menjadi pemimpin yang prihatin terhadap keperluan masyarakat sekeliling," kata ibu tiga anak berusia 45 tahun ini.
Cik Faraliza, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda dalam bidang Kaunseling di UniSim, menyahut seruan pemerintah yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat kerana mahu lebih mendekati golongan keperluan khas itu.
"Saya sudah mempunyai diploma lanjutan dalam sumber manusia dan keperluan khas. Saya juga seorang ahli terapi dalam aspek bermain, instruktor gim minda dan ahli terapi pergerakan autisme.
"Tetapi golongan keperluan khas dan pastinya anak saya membuat saya lebih terdorong mengikuti pengajian sarjana muda ini.
"Saya ingin memberikan mereka peluang untuk turut meluahkan perasaan kepada seorang kaunselor yang bertauliah," ujarnya bersemangat.