Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DIALOG REACH-BERITA HARIAN DENGAN MASYARAKAT MELAYU: ISU PEKERJAAN

Nasib pekerja Melayu dalam perubahan ekonomi antara keprihatinan utama

Oct 14, 2016 | 05:30 AM



USAHA membantu pekerja Melayu dalam suasana ekonomi yang berubah dan tidak menentu merupakan antara keprihatinan utama yang dilahirkan dalam satu dialog kelmarin malam.



Ramai yang ingin tahu apakah cukup usaha untuk membantu pekerja yang sudah pun terjejas dalam ekonomi sekarang, dan bagaimana mempersiap pekerja dan pelajar bagi mengatasi cabaran masa depan.



Demikian menurut beberapa peserta yang menyertai satu dialog tertutup anjuran unit maklum balas pemerintah Reach bersama Berita Harian (BH) di Village Hotel, Bugis malam kelmarin.



Dialog itu diadakan bersama Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, dan Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam, yang juga Anggota Panel Penyeliaan Reach.



Dr Yaacob ketika ditemui media selepas sesi dialog itu berkata persoalan mengenai ekonomi amat penting kerana ia menjejas masa depan masyarakat.



"Saya dan Cik Rahayu telah cuba memberi jaminan bahawa pemerintah akan cuba sedaya upaya membantu kerana bukan dalam kepentingan kita untuk membiarkan rakyat Singapura menganggur buat tempoh yang lama." kata beliau.



Antara peserta yang ditemui BH selepas dialog itu ialah Encik Ramli Puteh, yang menyoal apakah pekerja Melayu bersedia menghadapi cabaran dalam perubahan ekonomi ini, dan apakah mereka giat memanfaatkan skim SkillsFuture bagi meraih peluang dalam ekonomi baru.



"Isunya adalah sejauh manakah orang Melayu bersedia mengambil peluang itu untuk mempersiap diri menambahkan kemahiran untuk menghadapi masa depan. Ini yang menimbulkan kekhuatiran," ujar Encik Ramli, pengasas Persatuan Aksi Kemajuan Sosial dan Ilmu (Paksi) yang baru ditubuhkan 7 Julai lalu.



Sebagai bekas pemimpin kesatuan yang pernah menangani isu pembuangan kerja, Encik Ramli juga bimbang lebih ramai individu bakal menghadapi pembuangan kerja sedang syarikat disusun semula.



"Ada yang tidak mempunyai ilmu untuk mendapatkan pekerjaan yang merupakan kemahiran baru. Dunia berubah, landskap berubah, tetapi mereka masih di takuk lama lagi.



"Apakah kita tunggu hujan baru hendak cari payung? Atau sudah terhantuk baru tengadah?" ujar Encik Ramli, 63 tahun.



Seorang lagi peserta dialog itu, Encik Morni Sulaiman, pula memberitahu BH beliau prihatin mengenai dua bank Switzerland - BSI Singapore dan Falcon Private Bank (Falcon Bank) - yang diarahkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) supaya tutup kerana kesalahan serius berkaitan pengubahan wang terlarang.



Khususnya, beliau prihatin tentang implikasinya kepada sektor perbankan dan peluang pekerjaan dalam sektor itu, dan apakah nasib pekerja dalam dua bank itu.



Namun beliau faham penutupan itu adalah langkah wajar.



Seramai 180 orang menyertai dialog selama dua jam bersama Dr Yaacob dan Cik Rahayu berkenaan ehwal semasa dan isu keprihatinan masyarakat Melayu/Islam.



Dialog itu dihadiri individu daripada pelbagai latar belakang, daripada pemimpin masyarakat hingga pelajar institusi pengajian tinggi dan madrasah.




RESPONS MENTERI



"Saya dan Cik Rahayu telah cuba memberi jaminan bahawa pemerintah akan cuba sedaya upaya membantu mereka (pekerja) kerana bukan dalam kepentingan kita untuk membiarkan rakyat Singapura menganggur buat tempoh yang lama."



- Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >