NDP bakal tampilkan aksi menarik 50 pesawat membelah angkasa

HAKIM YUSUF

SEBANYAK 50 pesawat akan beraksi dalam segmen pertunjukan udara di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), sempena sambutan ulang tahun Singapura ke-50 (SG50) tahun ini.

Ini bilangan pesawat terbesar dalam sejarah Singapura yang akan mengambil bahagian dalam NDP di Padang nanti.

Dalam pertunjukan tersebut, orang ramai akan dapat menyaksikan pelbagai formasi penerbangan menakjubkan yang mempamerkan unsur-unsur ketepatan dan kemahiran juruterbang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Selain pertunjukan udara tradisional seperti Terbang Lalu Bendera Negara dan letusan bom udara Black Knights RSAF, beberapa formasi penerbangan yang menarik akan dipersembahkan tahun ini.

Antaranya penerbangan yang membentuk angka '50' di udara melibatkan 20 pesawat pejuang F-16.

Ini dilakukan semasa Penghormatan Terbang Lalu.

Pengerusi jawatankuasa penyertaan udara, Kolonel Francis Ngooi, berharap pameran ini dapat memberikan "kenangan istimewa buat warga Singapura" sempena Jubli Emas Singapura itu.

"Sambil melihat pembentukan angka '50' di udara, kami berharap warga Singapura dapat mengingati kemajuan Singapura sejak 50 tahun lalu dan juga memberikan inspirasi untuk terus berusaha di masa depan dengan semangat perintis yang sama," kata Kolonel Ngooi kepada media semasa acara pranonton di Padang.

Beliau menambah, penglibatan 50 pesawat yang terdiri daripada pesawat pejuang, helikopter dan pesawat pengangkutan menunjukkan kemajuan RSAF sebagai angkatan udara yang bersepadu dan profesional.

Sementara itu, RSAF juga telah mengambil langkah-langkah keselamatan bagi keselamatan juruterbang dalam pertunjukan udara itu.

"Keselamatan adalah aspek paling penting bagi kami. Usaha yang baik telah dilakukan untuk memastikan pertunjukan udara dibuat dengan selamat.

"Usaha ini termasuk program latihan juruterbang yang baik, pemilihan cermat pesawat dan pengajian selidik menyeluruh bagi laluan kapal terbang kami.

"Selain itu kami bekerja rapat dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bagi pengurusan ruang udara," kata Kolonel Ngooi.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 66
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.