NLB: Proses lebih jelas untuk buku kontroversi

LEMBAGA Perpustakaan Negara (NLB) akan melakar satu proses yang lebih jelas untuk buku-buku yang telah ditarik keluar dari senarai bacaan awam "disebabkan kandungan yang kontroversi".

Menerusi pendekatan yang dikemaskinikan, NLB tidak akan terus memusnahkan buku-buku yang dianggao tidak sesuai, sebaliknya akan mencari jalan lain untuk mengenepikan buku-buku ini.

Jaminan ini diberikan Menteri Penerangan dan Maklumat, Dr Yaacob Ibrahim, yang berkata, NLB tidak akan terus memusnahkan buku-buku yang dianggap tidak sesuai dibaca khalayak umum.

"Untuk buku-buku yang masih berkeadaan baik tetapi telah ditarik keluar disebabkan kandungannya yang kontroversi, NLB akan mempertimbangkan pilihan lain selain memusnahkannya.

"Saya tidak mahu mendahului pertimbangan mereka, tetapi salah satu kemungkinan adalah untuk meletakkan buku-buku ini di bahagian yang lebih sesuai untuk khalayak pembacanya membuat pinjaman, sepertimana yang dilakukan dalam kes ini (kes tiga buku kanak-kanak berbaur homoseksual yang kini ditarik keluar dan dua ditempatkan di bahagian dewasa).

"Kemungkinan lain termasuklah meletakkannya di bahagian rujukan, atau dijual atau didermakan," kata Dr Yaacob.

Tengkarah tercetus awal bulan lalu menyusuli tindakan NLB menarik keluar tiga buku kanak-kanak berbahasa Inggeris yang berbaur homoseksual - And Tango Makes Three, mengenai dua penguin jantan yang menetaskan telur; The White Swan Express: A Story About Adoption, yang antara lain memaparkan pasangan lesbian dan ibu tunggal; dan, Who's In My Family?: All About Our Families, tentang pelbagai struktur keluarga.

Keputusan itu dibuat NLB menyusuli maklum balas awam yang mendapati buku-buku tersebut tidak mencerminkan resam hidup masyarakat di sini yang konservatif.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 51
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.