NParks tidak mahu Pokestop dalam hutan simpan Singapura

JANGAN kacau hutan simpan semula jadi sensitif Singapura.

Gesaan itu dibuat Lembaga Taman Negara (NParks) kepada pemaju permainan mudah alih Pokemon Go yang popular.

Ia telah meminta agar Pokestop - hentian pit permainan maya itu yang terdapat di lokasi dunia sebenar - dikeluarkan dari kawasan larangan hutan simpan semula jadi di sini.

"Ini adalah untuk mengelakkan situasi pemain Pokemon Go berjalan di luar laluan dibenarkan semasa bermain permainan itu, dan secara tidak sengaja memijak tumbuh-tumbuhan, mengganggu hidupan liar dan menyebabkan kerosakan pada alam sekitar, dan membahayakan diri mereka sendiri," kata pengarah kumpulan bagi pemuliharaan NParks, Encik Wong Tuan Wah,

Pokestop terjejas boleh dijumpai dalam hutan dan habitat tanah lembap sensitif Hutan Simpan Bukit Timah, Hutan Simpan Kawasan Tadahan Central dan Paya Simpan Sungei Buloh. Ia terletak di kawasan larangan di mana pengunjung tidak dibenarkan masuk.

Di bawah Akta Taman dan Pokok, memasuki mana-mana bahagian kawasan alam semula jadi simpan tidak melalui laluan yang ditetapkan adalah satu kesalahan.

NParks merayu pemaju permainan itu, Niantic, supaya Pokestop itu dikeluarkan pada Ogos lalu, apabila permainan tersebut dilancarkan di sini. Tetapi pemeriksaan oleh akhbar The Straits Times pada Selasa (4 Okt) menunjukkan ia masih ada.

Encik Wong berkata NParks sedar lebih ramai orang melawat hutan simpan Singapura di tempat Pokestop berada. Pemain permainan itu pergi ke hentian pit, yang biasanya terletak di tempat menarik atau mercu tanda, untuk mendapatkan barang-barang seperti Poke Ball, yang boleh digunakan untuk menangkap raksasa maya yang disebut Pokemon.

Jurucakap Niantic berkata: "Kami tidak boleh mengesahkan status permintaan penyingkiran lokasi khusus Pokestop dan gimnasium di Pokemon Go, tetapi sedang mengambil langkah dengan cepat untuk menyemak dan menangani semua permintaan tersebut."

Satu lagi kawasan simpan, Hutan Simpan Labrador, sudah tidak boleh diakses.

NParks bukan yang pertama meminta Pokestop dikeluarkan. Bekas kem tahanan di Auschwitz-Birkenau, Poland, yang kini sebuah muzium, juga telah meminta dikeluarkan daripada permainan itu.

Begitu juga kampung Kijkduin di Belanda, di mana pantainya yang dilindungi dibanjiri pemain Pokemon Go.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:22
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,219.420 -14.950