NTUC, PA akan tekankan peri perlu bertenang, bersatu jika serangan berlaku

PERGERAKAN buruh dan pertubuhan akar umbi akan mendekati rakyat Singapura dan warga asing di sini untuk menyampaikana mesej bahawa andainya serangan pengganasan berlaku, mereka harus bertenang, membantu satu sama lain dan bersatu.

Ketua Buruh, Encik Chan Chun Sing, yang juga timbalan pengerusi Persatuan Rakyat (PA), berkata demikian pada Ahad (24 Jan) ketika ditanya pemberita mengenai reaksi di lapangan selepas pengumuman minggu lepas bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menahan 27 pekerja Bangladesh radikal yang merancang pengganasan bersenjata di luar negara, akhir tahun lalu.

Encik Chan juga berkata adalah penting rakyat Singapura memastikan "kita meneruskan kehidupan seperti biasa" selepas sesuatu kejadian.

"Kekalahan besar yang pengganas boleh kenakan ke atas Singapura ialah satu, merompak kebiasaan kita daripada kami, dan dua, memecahbelahkan masyarakat kita. Selagi kita mengekalkan keadaan sediakala kita dan bersatu sebagai sebuah masyarakat, saya fikir pengganas tidak akan berasa begitu mudah untuk mengalahkan Singapura dan rakyat Singapura," katanya.

Encik Chan, yang juga setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian kemudahan untuk membantu pekerja pembantu rumah di Pusat Goldhill di Thomson Road.

Seruan perpaduan juga dibuat oleh beberapa menteri minggu lepas. Menteri Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata warga asing yang bekerja di sini tidak mempunyai sebab untuk takut mengenai tindakan tegas jika mereka mematuhi undang-undang, tetapi pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas yang perlu jika mereka melibatkan diri dalam kegiatan pelampau.

Pada Ahad, Encik Chan berkata sejak berita penangkapan itu tersiar, rangkaian NTUC dan PA telah berusaha mendapatkan reaksi di lapangan.

Mereka mendapati ada kesedaran tinggi dalam kalangan rakyat Singapura mengenai cabaran keselamatan, dan bahawa ia bukan tugas Home Team dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sahaja untuk kekal berjaga-jaga.

"Ramai orang daripada semua lapisan masyarakat kini sedar bahawa ini adalah satu cabaran amat nyata yang kita semua perlu tangani bersama," katanya.

NTUC dan PA juga mendapati umumnya kebanyakan warga Singapura tenang, tetapi mereka juga "ingin tahu apakah ada sesuatu yang boleh mereka lakukan dan perlu dilakukan jika sesuatu kejadian malang berlaku di Singapura".

Inilah sebabnya kedua-dua pertubuhan itu akan memberi penekanan pada keperluan bertenang dan bersatu. Encik Chan berkata adalah penting juga membantu orang asing di sini berasa bersepadu dan menangani kebimbangan mereka, hingga tidak ada ruang untuk mana-mana pihak mengeksploitasi sebarang rasa tidak puas hati mereka rasa.

"Kita mungkin datang daripada latar belakang berbeza, kita mungkin mempunyai perbezaan kita, tetapi biarlah ia tidak memecahbelahkan kita. Semakin besar cabaran, lebih besar ancaman untuk memecahbelahkan kita, lebih banyak kita harus berusaha untuk cuba memahami satu sama lain dan kemudian bertenang sebagai sebuah masyarakat," katanya.

Encik Chan turut ditanya mengenai langkah-langkah keselamatan konkrit, dan berkata Kementerian Dalam Negeri (MHA) akan mengumumkan ini dalam masa terdekat.

Perkara penting, kata beliau, ialah semua orang berasa "kita semua boleh memainkan peranan dalam memastikan pengganas tidak mengalahkan kita dengan membuat kita berasa takut bagi mengganggu kebiasaan kita atau dengan memecahbelahkan kita walaupun tanpa meleteupkan bom".

"Mereka boleh memecahbelahkan kita jika mereka menanam benih perpecahan, jika mereka menyemai benih syak wasangka dalam perbezaan kaum, bahasa dan agama kita. Oleh itu, kita tidak boleh membenarkan benih perpecahan, benih yang menimbulkan syak wasangka yang memecahbelahkan kita walaupun tanpa bom meletup," kata Encik Chan.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 25
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.