NUS timbang pendekatan baru bagi orientasi mahasiswa

UNIVERSITI Nasional Singapura (NUS) sedang memikirkan semula program orientasinya bagi mahasiswa baru, umumnya di webnya pada Rabu (21 Sept).

Timbalan Presiden (Hal Ehwal Akademik) yang juga Provos NUS, Profesor Tan Eng Chye, berkata sebagai sebahagian daripada kajian ke atas kegiatan orientasi universiti itu, sebuah jawatankuasa yang ditugaskan melihat perkara tersebut juga diminta "menimbangkan pendekatan baru bagi orientasi mahasiswa baru serta amalan semasa yang positif yang harus dilanjutkan dan dikekalkan".

Beliau berkata "orientasi bertujuan menyambut dan memperkenalkan mahasiswa baru kepada masyarakat universiti".

Ini menyusuli tindakan NUS mengantung semua kem orientasi pada Julai berikutan laporan mengenai kegiatan tidak sesuai, termasuk pelajar dibenam dalam air dan kegiatan bercorak seks, termasuk simulasi rogol.

NUS membentuk sebuah Jawatankuasa Semakan Orientasi pada akhir Ogos, terdiri daripada 14 anggota merangkumi wakil pelajar, fakulti, dan juga alumni.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Profesor Tan Tai Yong, naib presiden eksekutif (hal ehwal akademik) bagi Yale-NUS College, dan bekas Anggota Parlimen Dilantik.

Ia telah mengadakan tiga mesyuarat dengan wakil pelajar daripada fakulti Sains dan Sekolah Perniagaan serta asrama NUS.

Jawatankuasa itu akan bertemu lebih ramai pelajar dan ahli fakulti pada minggu-minggu akan datang. Ia berharap dapat menyerahkan laporan akhir kepada pihak pengurusan universiti itu pada pertengahan Oktober.

Saranannya akan dikongsi dengan masyarakat NUS.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.