Pakar bedah dituduh pikat burung terancam bagi petik gambar bagus

SEORANG pakar bedah ortopedik didakwa pada Selasa (7 Jun) membuang sampah merata-rata dan memberi burung terancam makanan ikan hidup yang disuntik dengan udara.

Lee Soon Tai, 62 tahun, yang mengendalikan sebuah klinik di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, didakwa melakukan dua perbuatan itu dua kali tahun lalu di Taman Bandar Bukit Batok.

Dia menghadapi empat pertuduhan memberi helang ikan kepala kelabu terancam makanan ikan hidup yang disuntik dengan udara, bersama dua orang lain - Sathiananthen Rasalingam dan Tran Thuong Chung Linh - antara 2 dan 5 petang pada Julai 19 tahun lalu.

Mereka bertiga juga didakwa membuang sampah merata-rata dengan membuang tiga ikan hampir mati ke dalam sebuah kolam di taman itu, yang diurus oleh Lembaga Taman Negara (NParks), pada hari sama.

Kira-kira satu bulan kemudian, pada 16 Ogos, Lee didakwa mengulangi kedua-dua perbuatan juga antara 2 dan 5 petang.

Kali ini, dia didakwa berbuat demikian dengan tiga orang lain - Sathiananthen, Tran dan V.V. Shanmuga Sundaram.

Memberi haiwan makan dan membuang sampah merata-rata di taman awam menjadi kesalahan di bawah Akta Taman dan Pokok yang membawa hukuman denda hingga $5,000 bagi setiap kesalahan.

Tiada pengakuan dibuat oleh tertuduh dan kes itu akan disebut lagi pada 19 Julai.

Pada Oktober tahun lalu, satu video tiga jurugambar memikat bukung helang ikan kepala kelabu di Bukit Batok dengan menggunakan ikan hidup yang disuntik dengan udara tersebar di media sosial.

Mereka melakukan itu supaya ikan tersebut terapung-apung dan menarik perhatian burung tersebut.

Ini akan membantu jurugambar mengambil gambar seekor helang menyambar mangsanya di permukaan air.

NParks berkata pada masa itu bahawa ia sedang menyiasat kes tersebut.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.