LAGU La-A-Obe, yang bermaksud Berubah, dan pernah menjadi top hit dalam zaman Pop Yeh-Yeh, bakal berkumandang di Taman Warisan Melayu (TWM) sempena satu pameran besar-besaran yang menyorot kehidupan dan perubahan masyarakat Bawean sejak mereka berhijrah ke sini seawal 100 tahun lalu.
Bertemakan 'La-A-Obe: Warisan dan Budaya Bawean di Singapura', pameran dari 15 Mac hingga 3 Ogos ini bakal membawa pengunjung menyusur relung masa - daripada mula mereka berhijrah, hidup di ponthuk atau pondok, meniti cabaran hinggalah mengecap kejayaan dalam kehidupan metropolitan di sini.