Panama Papers: Singapura jalankan siasatan

SINGAPURA menyertai beberapa negara melancarkan siasatan ke atas dokumen yang bocor dari sebuah firma undang-undang Panama untuk membongkar sembarang salah laku menggunakan struktur syarikat luar pesisir.

Agensi relevan sedang mengkaji maklumat yang bocor dan menjalankan pemeriksaan.

"Jika ada bukti salah laku oleh individu atau entiti di Singapura, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas," kata Kementerian Kewangan (MPF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (5 Apr) malam.

Kebocoran apa yang dinamakan sebagai 'Panama Papers' itu mendedahkan pengaturan kewangan ahli politik dan tokoh masyarakat berprofil tinggi dan syarikat serta institusi kewangan yang mereka gunakan untuk kegiatan tersebut.

Antara mereka yang dinamakan dalam dokumen itu ialah pembantu Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan saudara-mara pemimpin China, Britain, Iceland dan Pakistan, serta Presiden Ukraine.

Tokoh dan institusi kewangan terkemuka memberi respons terhadap kebocoran besar-besaran lebih 11.5 juta dokumen itu dengan menafikan sebarang salah laku, sedang pendakwa dan pengawal selia memulakan pemeriksaan laporan siasatan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan pertubuhan media lain.

Jurucakap MOF dan MAS berkata: “Singapura memandang serius terhadap pengelakan cukai dan tidak akan bertolak ansur jika pusat  perniagaan  dan  kewangannya   digunakan bagi  memudahkan jenayah berkaitan cukai.

"Kami telah meletak  rangka kerja   undang-undang, cukai dan pengawalseliaan kukuh, ditambah pula dengan rejim penyeliaan  ketat, bagi  menangani perbuatan mengelak dan menghindari  cukai rentas sempadan.”

Forum Global mengenai Ketelusan dan Pertukaran Maklumat bagi  Tujuan Cukai, sebuah badan antarabangsa yang menilai pelaksanaan piawaian antarabangsa mengenai ketelusan cukai oleh pihak berkuasa, telah berkata bahawa aturan pertukaran  maklumat oleh Singapura “sebahagian besarnya mematuhi” piawaian   antarabangsa.
Ini sama dengan   penilaiannya terhadap negara  seperti Amerika Syarikat dan Britain, kata jurucakap itu.

Perdana Menteri Iceland, Encik Sigmundur David Gunnlaugsson, menjadi mangsa pertama kebocoran itu apabila beliau meletak jawatan pada Selasa, selepas menghadapi bantahan besar-besaran, menurut penyiar negara, RÚV.

China telah mengambil tindakan mengehadkan akses tempatan kepada liputan tentang perkara itu, dengan media pemerintah mengecam laporan Barat mengenai kebocoran itu sebagai berat sebelah terhadap pemimpin bukan Barat

Perancis, Australia, New Zealand, Austria, Sweden dan Belanda antara negara yang telah memulakan siasatan, dan beberapa negara, termasuk Amerika, berkata mereka sedang mengkaji perkara itu.

Walaupun Panama Papers memperincikan pengaturan kewangan kompleks yang memberi manfaat kepada golongan elit di dunia, ia tidak semestinya bermakna semua skim itu melanggar undang-undang.

Mossack Fonseca, firma undang-undang Panama di tengah-tengah kebocoran itu, menubuhkan lebih 240,000 syarikat luar pesisir bagi pelanggan mereka di seluruh dunia dan menafikan sembarang salah laku.

Ia menyifatkan dirinya mangsa kempen terhadap privasi dan mendakwa bahawa laporan media memberi gambaran salah tentang sifat perniagaannya.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, firma itu berkata ia tidak pernah dikenakan pendakwaan atau secara rasmi disiasat kerana kesalahan jenayah dalam tempoh hampir 40 tahun ia beroperasi. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.