Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pandu luar waktu sibuk kerana urus anak dan tugas peribadi

Oct 01, 2023 | 05:32 AM



Setiap hari, pemandu kereta sewa privet (PHV) Encik Muhammad Fadzli Amidon, keluar memandu sekitar 9 pagi atau 10 pagi, setelah waktu sibuk pagi berakhir.

Beliau bukan sengaja mengelakkan daripada memandu pada waktu sibuk pagi, tetapi itulah jadual yang paling sesuai untuknya sebagai bapa kepada seorang anak kecil.

Setiap pagi, beliau perlu menghantar anaknya yang berumur tiga tahun itu ke sekolah. Kadangkala beliau juga menghantar isterinya ke kerja.

Kemudian beliau meluangkan sedikit masa mengatur jadual penghantaran bagi perniagaan penghantarannya, Hantar4U.

Selepas itu baru beliau mula memandu, mengambil dan menghantar penumpang ke destinasi mereka menggunakan wadah Grab.

Beliau memandu hingga 6 petang sebelum berhenti untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah, menyediakan makan malamnya, dan berehat sebelum keluar memandu sekali lagi pada 10 malam. Beliau akan pulang ke rumah sekitar 3 pagi.

Disebabkan jadualnya itu, Encik Muhammad Fadzli terpaksa melepaskan peluang memandu pada waktu sibuk pagi dan petang, dan tidak dapat meraih insentif waktu sibuk yang diberikan Grab.

“Saya perlu uruskan tugas-tugas peribadi saya terlebih dahulu. Biasanya saya selesai selepas 9 pagi, dan pada waktu itu, ramai pekerja sudah tiba di pejabat,” katanya yang memandu PHV sejak 2019.

Encik Muhammad Fadzli berkata beliau faham mengapa agak sukar bagi orang ramai mendapatkan PHV atau teksi pada waktu sibuk kerana adanya pemandu sepertinya.

Beliau, yang menganggotai sebuah kumpulan terdiri daripada lebih 20 pemandu PHV, berkata sekitar lima pemandu dalam kumpulan itu tidak dapat mengambil penumpang pada waktu sibuk pagi kerana ada tugas yang perlu diuruskan.

Bagi Encik Muhammad Fadzli, 80 peratus kegunaan kereta Toyota Voxy yang disewanya adalah untuk perniagaan pengangkutan dan baki 20 peratus adalah untuk kegunaan peribadi seperti menghantar ahli keluarga ke sana sini atau keluar berjalan-jalan.

Beliau berkata ada pemandu menggunakan kereta PHV mereka untuk melakukan penghantaran. Beliau juga pernah melakukan demikian semasa waktu pandemik.

Ada pula pemandu PHV yang hanya memandu secara sambilan untuk menambah pendapatan kerana mereka mempunyai pekerjaan tetap lain.

Terdapat juga pemandu PHV yang menggunakan kereta mereka untuk melakukan kerja memandu lain, seperti menerima tempahan daripada syarikat pelancongan untuk membawa penumpang dari lapangan terbang ke hotel.

“Ada orang melakukan tugas ini kerana tambangnya lebih baik; atau kerjanya sekejap sahaja, dan mudah dilakukan,” katanya.

Encik Muhammad Fadzli menambah pemandu kini bekerja dalam cara yang lebih bijak.

“Ada yang mengejar insentif dan ada juga yang menunggu kerja yang mempunyai nilai lebih tinggi. Kerja yang mempunyai nilai lebih tinggi ini mungkin di luar waktu sibuk, di tempat yang mempunyai permintaan tinggi. Memandu bagi kategori premium juga boleh disifatkan sebagai nilai lebih tinggi,” katanya tentang kategori untuk kereta mewah yang mengenakan tambang lebih tinggi berbanding kategori kereta biasa.

Ditanya bagaimana menggalak lebih ramai pemandu PHV mengambil penumpang pada waktu sibuk, Encik Muhammad Fadzli berkata adalah lebih baik sekiranya syarikat PHV seperti Grab memberi insentif daripada menetapkan syarat seperti menghendaki pemandu memandu jumlah masa tertentu semasa waktu sibuk setiap hari.

“Pekerjaan ini bersifat fleksibel. Pemandu menetapkan sendiri sama ada mereka mahu memandu atau tidak. Tetapi dengan insentif untuk menggalak pemandu memandu pada waktu sibuk pun, kesannya mungkin terhad. Selepas tempoh waktu sibuk sudah berakhir, apakah yang akan berlaku dengan pemandu-pemandu ini?,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >