SEBUAH panel penasihat akan dibentuk untuk mengkaji bagaimana menjadikan sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) lebih fleksibel dan memberi warga lebih banyak pilihan.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata beberapa pertimbangan perlu diteliti, termasuk bagaimana Jumlah Minimum CPF dapat disesuaikan untuk tempoh mendatang supaya pencarum boleh terus menerima pembayaran balik (payout) bulanan persaraan asas yang mencukupi.
Peraturan dan had jumlah wang CPF yang boleh dikeluarkan secara sekaligus, serta bagaimana pencarum boleh diberi lebih banyak fleksibiliti untuk melabur wang CPF juga akan dikaji.
Encik Lee, dalam Rapat Hari Kebangsaan sebentar tadi, berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah melakar beberapa kemungkinan itu, namun beliau mengingatkan bahawa perubahan CPF adalah amat rumit.