Panelis kongsi panduan, pengalaman dalam seminar kebapaan

ANDA seorang bapa yang terkesan dengan 'jurang' hubungan antara anda dan anak remaja anda?

Ingin membina hubungan lebih kukuh dengan mereka, tetapi kurang tahu caranya?

Seminar Kebapaan anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP), Centre for Fathering (CFF) dan Persatuan ADAM dapat membantu anda.

Seminar tersebut mengetengahkan pakar keluarga dan golongan bapa yang dapat berkongsi panduan bagi memperkasa bapa dengan kemahiran membina hubungan yang utuh lagi berkekalan dengan anak remaja mereka.

Disokong Berita Harian/Berita Minggu, seminar itu akan berlangsung pada Ahad, 4 September ini, dan mengetengahkan penceramah utama, pakar motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzillah Kamsah.

Selain beliau, Encik Shafie Shamsuddin, Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carrefour Indonesia, juga akan berkongsi cabaran dan petua mendekati dua anak remajanya yang berusia 13 dan 17 tahun.

Seorang lagi bapa turut diundang bagi sesi perkongsian dalam seminar tersebut. Namun, identiti bapa itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengulas usaha menganjurkan seminar itu, Ketua Pegawai Eksekutif CFF, Encik Peter Quek, berkata:

"Menerusi usaha kami mendekati golongan bapa, kami dapati bahawa ketiadaan bapa adalah sesuatu yang amat ketara dalam hubungan antara remaja dan bapa mereka.

"Antara sebab yang lazim kami dengar termasuk kurang pengetahuan oleh golongan bapa dalam menjadi bapa kepada seorang anak remaja, rasa hilang kawalan terhadap anak remaja mereka atau tanggapan bahawa peranan keibubapaan adalah tanggung jawab si ibu semata-mata," ujar beliau.

Justeru, Encik Quek menambah, seminar kebapaan itu bertujuan menangani isu-isu tersebut.

"Menerusi pelbagai program yang ditawarkan, di samping panduan daripada penceramah bertauliah yang telah membesarkan anak remaja dengan berjaya, kami harap bapa akan diperkasa dan dilengkapi agar lebih melibatkan diri dalam kehidupan anak remaja mereka," katanya lagi.

Seminar Kebapaan akan diadakan di Chengal Room di Hotel Crowne Plaza Changi Airport.

Tiket berharga $30 akan mula dijual pada 3 Ogos ini.

Butir pembelian tiket melalui dalam talian akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, orang ramai boleh 'Like' laman Facebook AMP di facebook.com/AMP.Singapore bagi mendapatkan maklumat terkini.


SEMINAR KEBAPAAN

Bila: Ahad, 4 September

Masa: 9 pagi hingga 1 petang

Tempat: Chengal Room, Hotel Crowne Plaza Changi Airport

Anjuran: Angkatan Karyawan Islam (AMP), Centre for Fathering (CFF) dan Persatuan ADAM. Disokong Berita Harian.

Tiket: $30 setiap seorang (Akan mula dijual pada 3 Ogos ini. Butir pembelian tiket melalui dalam talian akan diumumkan tidak lama lagi).

Maklumat lanjut boleh didapatkan dengan 'Like' laman Facebook AMP di facebook.com/AMP.Singapore atau hubungi talian 6319-5601.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.