Parlimen: Kelajuan layar dan kawasan panas Wireless@SG akan diganda

KELAJUAN melayari perkhidmatan Wi-Fi awam percuma Singapura, Wireless@SG, akan meningkat lebih dua kali ganda kepada 5Mbps menjelang akhir tahun ini, sedang Pemerintah melihat rangkaian itu sebagai perkhidmatan utama bagi membolehkan wawasan negara pintar Singapura dicapai.

Bilangan kawasan panas Wireless@SG juga akan ditambah dua kali ganda kepada 20,000 menjelang 2018 bagi melengkapi dengan lebih baik rangkaian 4G syarikat telekomunikasi dalam memenuhi permintaan semakin meningkat pengguna bagi jalur lebar mudah alih.

"Kita mesti membina infrastruktur kelas pertama untuk sambungan meluas, lancar dan berkelajuan tinggi demi manfaat rakyat dan perniagaan," kata Menteri Negara ( Komunikasi dan Maklumat), Dr Janil Puthucheary, semasa mengumumkan naik taraf itu di Parlimen pada Isnin (11 April).

Beberapa Anggota Parlimen (AP) telah bertanya adakah rancangan meningkatkan kelajuan melayari Wireless@SG, dengan Encik Zaqy Mohamad (GRC Choa Chu Kang) berkata: "Kelajuan Wireless@SG hari ini lebih rendah dari segi prestasi daripada apa yang rangkaian mudah alih 4G kita sediakan."

Menangani itu, Dr Janil berkata kelajuan semasa Wireless@SG sudah lebih tinggi daripada kebanyakan perkhidmatan Wi-Fi awam di seluruh dunia. Bagaimanapun, oleh kerana permintaan semakin meningkat, terdapat keperluan meningkatkan kelajuan semasa.

Dengan peningkatan itu, Wireless@SG akan lebih laju daripada kelajuan 3G sedia ada, katanya.

Singapura juga akan menjadi bandar yang mempunyai kawasan panas paling padat di dunia, dikira dari segi kadar jumlah kawasan panas bagi setiap penduduk.

Pada masa ini, Singapura hanya di belakang Tokyo.

"Tetapi bukan ketersambungan yang membuatkan kita bijak; ia adalah apa yang kita lakukan dengannya," kata Dr Janil.

Peluasan liputan akan menyasarkan tempat sesak seperti hospital, bangunan pemerintah dan pusat masyarakat supaya lebih ramai orang boleh sambung kepada rangkaian itu tanpa menghadapi kelembapan pelayaran.

Lebih banyak tempat awam seperti pusat penjaja, stesen kereta api dan pusat runcit juga akan dimasukkan ke dalam senarai zon Wireless@ SG.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.