Parlimen: MOH isytihar perang ke atas kencing manis, pasukan petugas baru dibentuk

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengisytihar perang ke atas penyakit kencing manis, dengan setiap seorang daripada pemimpin politik di kementerian itu akan mengetuai bahagian berlainan dalam usaha tersebut.

Semasa menyatakan ini, Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, berkata penyakit itu membuat negara ini kehilangan lebih $1 bilion setahun.

Daripada lebih 400,000 pesakit kencing manis yang ada sekarang, ini, satu dalam tiga tidak tahu mereka mempunyai penyakit itu.

Dalam kalangan pesakit yang tahu, satu dalam tiga orang tidak dapat mengawal penyakit mereka, kata Encik Gan di Parlimen pada Rabu (13 April) ketika perbahasan belanjawan kementeriannya.

"Jika dibiarkan tidak dikesan, tidak dirawat atau tidak diurus dengan baik, kencing manis boleh membawa kepada penyakit jantung, angin ahmar, kegagalan ginjal, buta dan amputasi," kata beliau, sambil menambah bahawa empat rakyat Singapura kehilangan satu anggota atau apendaj badan setiap hari kerana komplikasi diabetes.

Dan jika tiada apa dilakukan, keadaan ini akan hanya menjadi lebih buruk, kerana terdapat ramalan bahawa satu daripada setiap tiga orang di sini akan mendapat kencing manis.

"Oleh itu, saya mengisytiharkan perang ke atas penyakit kencing manis. Kami mahu membantu rakyat Singapura hidup bebas daripada penyakit kencing manis, dan bagi mereka yang mempunyai penyakit ini, membantu mereka mengawal keadaan mereka bagi mengelakkan kemerosotan," kata Encik Gan.

Beliau akan mempengerusikan bersama sebuah Pasukan Petugas Pencegahan dan Penjagaan Kencing Manis baru bersama Pemangku Menteri Pelajaran, Encik Ng Chee Meng.

Pasukan petugas itu akan termasuk wakil daripada agensi pemerintah, sektor swasta, kumpulan sokongan dan penjaga pesakit.

Encik Gan menggariskan tiga pendekatan utama dalam pelan melawan kencing manis.

Pertama, menggalak gaya hidup sihat dan mengurangkan kadar obesiti bagi mengurangkan kes kencing manis baru.

Kedua, mengukuhkan pemeriksaan dan campur tangan awal bagi mengenal pasti penyakit awal dalam kalangan mereka yang berisiko atau tidak didiagnos.

Ketiga, menyokong kawalan penyakit lebih baik untuk memperlahankan perkembangan penyakit itu, dan mengurangkan komplikasi.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 18
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.