PERNIAGAAN berjalan seperti biasa di Pasar Geylang Serai semalam, meskipun ada penjual ikan di pasar itu terkait dengan kelompok Covid-19 Pelabuhan Perikanan Jurong (JFP)
Penjual daging dan sayur di pasar itu yang ditemui Berita Harian (BH) kelihatan tenang namun mengambil langkah berwaspada di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 di sini.
Pasar popular itu antara 13 pasar dan pusat makanan yang membentuk kelompok Covid-19 melibatkan penjual ikan yang berkunjung ke JFP bagi mendapatkan bekalan mereka untuk dijual di pasar.
Gerai ikan dan makanan laut di pasar terjejas ditutup sejak semalam.
Ketika kunjungan wartawan sekitar 10 pagi semalam, barisan panjang dilihat di Pasar Geylang Serai, dengan pengunjung sibuk berbelanja barang dapur bagi Hari Raya Aidiladha esok.
Bendahari Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Geylang Serai, Encik Anwardeen Sulaiman, berkata perniagaan di pasar itu tidak begitu terjejas bahkan rancak kerana ramai pengunjung membuat persiapan Hari Raya Haji.
"Untuk Hari Raya Haji ini, orang ramai tidak cari ikan sangat. Mungkin mereka akan cari udang. Tetapi, rata-rata yang datang ke sini hujung minggu ini ialah untuk beli daging ayam, lembu dan kambing.
"Perniagaan bagi gerai daging dan sayur-sayuran di sini berjalan seperti biasa," kata beliau, yang mengendalikan gerai jual sayur.
Encik Anwardeen menambah bahawa beliau rasa tidak begitu bimbang kerana tidak semua penjual ikan dan makanan laut di Pasar Geylang Serai pergi ke JFP.
Mungkin dua atau tiga penjual ambil bekalan di sana, menurutnya.
Pemilik gerai menjual daging ayam Nur As-Sunnah, Encik Faizal Zainal, berkata beliau mengambil langkah berjaga-jaga tambahan selepas mendengar berita penutupan gerai ikan dan makanan laut.
"Lebih-lebih lagi apabila pasar menjadi sibuk seperti hujung minggu sebelum Hari Raya Haji ini. Yang saya boleh buat ialah ingatkan pelanggan supaya jangan berdiri rapat dan patuhi jarak selamat.
"Keselamatan kami sebagai peniaga juga penting," ujarnya, yang sudah menerima vaksinasi penuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg