PBB beri amaran tentang pertambahan jenayah hasil integrasi Asean

HUBUNGAN perdagangan yang samakin meningkatkan di Asia Tenggara tidak membawa perniagaan sahaja, bahkan jenayah, tetapi para pegawai tempatan belum cukup memikirkan cara mengawal akibat buruk itu.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), dalam satu laporan yang dikeluarkan pada Khamis (25 Feb), memberi amaran tentang kegiatan jenayah yang ketara akan ditimbulkan, seperti pengedaran dadah, lanun dan perdagangan manusia, jika pegawai tempatan terus mengabaikan keperluan keselamatan hasil daripada kawalan Kastam terselaras.

"Integrasi serantau berlaku terlalu cepat hingga mengubah ancaman," kata wakil serantau UNODC, Encik Jeremy Douglas, kepada akhbar The Straits Times.

Para pemimpin serantau, dalam memberi tumpuan pada keperluan ekonomi, tidak memberi perhatian cukup terhadap risiko yang disebabkan oleh hubungan lebih rapat di rantau ini, dan juga antara Asia Tenggara dan seluruh dunia, ujar beliau.

"Agenda keselamatan ketinggalan jauh, jauh di belakang," katanya. "Ia tidak mendapat perhatian pembuat dasar sebagaimana sepatutnya."

Aliran haram di Asia Tenggara bernilai kira-kira AS$100 bilion ($140 bilion) setahun, tetapi itu anggaran konservatif.

Wang itu - dihasilkan daripada perdagangan dadah, haiwan, manusia, dan produk palsu, sebagai contoh - turut menjejaskan kestabilan rantau ini dengan membiayai rangkaian jenayah.

Kehilangan hasil cukai mengurangkan faedah daripada liberalisasi perdagangan dan menjejas perniagaan yang mematuhi undang-undang.

Dalam Masyarakat Ekonomi Asean, yang wujud sejak akhir tahun lalu, "ada tekanan semakin bertambah ke atas kakitangan sempadan supaya mengekalkan proses kelulusan pantas dan muday," kata laporan UNODC.

"Tetapi tidak semua pusat pemeriksaan dilengkapi untuk mengendalikan tekanan ini," kata laporan itu. "Dan jika peraturan baru tidak disertakan dengan pembinaan keupayaan dan pemeriksaan lebih bijak, ia akan menyebabkan keadaan berbahaya pengaliran wang haram besar yang tidak dapat dikesan."

Para pakar berkata negara miskin di rantau ini yang membuka pintu mereka untuk mendapatkan pertukaran asing sering tidak bersedia untuk mengawasi lonjakan barangan dan orang di sepanjang sempadan.

Rangkaian jenayah juga sedang menyesuaikan operasi mereka mengikut infrastruktur baru yang menghubungi negara-negara rantau ini dan Asia Pasifik.

"Nampaknya projek infrastruktur menghubungkan timur India dengan kawasan lain (rantau kecil Greater Mekong) telah menyebabkan peningkatan pengeluaran ketamin dan methamphetamine," katanya.

Walaupun ruang untuk jenayah rentas sempadan telah berkembang, "sistem dan perlindungan yang mengiringi projek infrastruktur mencerminkan masa ketika jenayah lebih merupakan satu fenomena tempatan".

UNODC menggesa negara-negara supaya berkongsi maklumat risikan dalam masa nyata menggunakan alat dan teknologi sedia ada. Ia juga menggesa mereka supaya mengukuhkan koleksi data serantau, serta respons dengan lebih berkesan kepada permintaan bersama untuk mendapatkan bantuan undang-undang.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 66
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.