Pegawai SSO dituduh gelapkan dana bantuan kewangan

POLIS telah mendakwa seorang pegawai Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) menggelapkan dana yang bertujuan membantu benefisiari ComCare.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (3 Ogos), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata Chia Kwang Hwee menghadapi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber dan Akta Rasuah, Dadah dan Jenayah Berat Lain (Perampasan Manfaat).

Menurut MSF, ia dimaklumkan oleh benefisiari pada 14 Ogos 2014 bahawa beliau tidak menerima bayaran bantuan kewangan beliau.

Kementerian itu kemudian mendapat maklumat yang menunjukkan Chia, yang bekerja di SSO di Geylang Serai, mungkin telah menggelapkan dana.

Sebagai ketua pasukan, skop kerja Chia termasuk menilai permohonan bagi bantuan kewangan dan merujuk mereka kepada penyelianya bagi kelulusan, meluluskan bantuan bagi kes yang dikendalikan pegawai lain dalam pasukannya, dan menguruskan kes keluarga yang mempunyai pelbagai keperluan.

Pihak pengurusan SSO itu mengesan transaksi bantuan sosial mencurigakan melibatkan Chia, di mana bayaran Giro untuk 26 pelanggan diagihkan ke dalam dua akaun bank. Ia kemudian mendapati sejumlah 42 pelanggan terjejas.

Satu laporan polis terhadap Chia bagi dakwaan penipuan difailkan oleh MSF esoknya, dan Chia ditahan pada 18 Ogos.

Dia digantung daripada tugasnya pada 19 Ogos, dengan MSF menghubungi semua pelanggan terjejas bagi memastikan bantuan yang diperlukan telah dipenuhi.

Juruaudit dalaman kementerian turut menjalankan pemeriksaan ke atas semua rekod pembayaran SSO untuk mengesahkan tidak ada kejadian serupa lain.

Berikutan kejadian itu, MSF melantik sebuah Panel Semakan Bebas terdiri daripada para pegawai kanan daripada agensi lain pemerintah pada 15 Sep 2014, untuk menyiasat keadaan sekitar tindakan Chia.

Panel tersebut telah mengemukakan saranannya, yang telah dilaksana MSF.

Ini termasuk:

- Memperkukuh pentadbiran akses kepada sistem teknologi maklumat (IT) MSF'

- Menyertakan pemeriksaan tambahan untuk memastikan pembayaran kepada pelanggan; dan

- Memperuntuk kes dalam cara di mana tiada pegawai dibenarkan mengendalikan pelanggan tertentu lebih dua tahun berturut-turut.

Mengulas mengenai kes itu dalam satu pos Facebook pada pagi Rabu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Tan Chuan-Jin, berkata walaupun keutamaan kementerian itu ialah memastikan rakyat Singapura dan keluarga memerlukan terus menerima bantuan sesuai, ia juga perlu memastikan kebertanggungjawapan.

"Langkah-langkah kawalan ada batasnya. Jika terlalu banyak, ia menjadi membebankan dan kurang tangkas, jika terlalu sedikit, anda menghadapi risiko salah guna.

"Akhirnya, nilai-nilai kami yang harus membimbing kami dalam semua tindakan kami untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura dengan integriti dan ihsan," kata beliau.

"Saya bangga ramai pegawai kami berkhidmat dengan bersemangat dan dedikasi. Tetapi Kementerian ini tidak akan membiarkan atau bertolak ansur dengan sebarang kelakuan yang menjejas integriti sistem bantuan sosial dan kepentingan benefisiari kami."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.