Peguam Jabing Kho salah guna proses mahkamah: AGC

JABATAN Peguam Negara (AGC) berkata pada Rabu (25 Mei) bahawa peguam pembunuh disabitkan, Jabing Kho, menyalah guna proses mahkamah dengan memfailkan pelbagai permohonan minggu lepas dalam usaha melambatkan pelaksanaan hukuman gantung ke atasnya.

Peguam Gino Hardial Singh, Jeannette Chong-Aruldoss dan Alfred Dodwell melancarkan pada saat-saat akhir cabaran terhadap pelaksanaan hukuman gantung Kho, yang ditetapkan pada Jumaat lalu.

"Ini adalah kes di mana, selepas setiap jalan sah bagi tindakan undang-undang telah dicuba dan berakhir, sikap mengambil kesempatan undang-undang diamalkan," kata AGC dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Ehwal Negeri (MHA) berkata "beberapa perkara tidak tepat telah dibuat berhubung proses undang-undang".

Kho "diberi setiap peluang untuk memfailkan rayuan, memohon agar dihukum semula" selepas undang-undang mengenai hukuman mati dipinda, dan untuk mengemukakan petisyen kepada Presiden bagi pengampunan.

Hanya selepas mahkamah tertinggi menolak permohonannya baru hukuman dijalankan pada tarikh yang telah ditetapkan, kata MHA.

Kedua-dua kenyataan itu datang di tengah-tengah perbincangan dalam talian mengenai kes Kho.

Warga Malaysia itu digantung petang Jumaat (20 Mei) lalu.

Dia memukul seorang pekerja binaan dari China, Encik Cao Ruyin, dengan dahan pokok ketika merompak beliau pada 2008. Tengkorak Encik Cao berkecai dan beliau meninggal dunia enam hari kemudian.

AGC berkata kedua-dua mahkamah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, menimbangkan kes Kho sebanyak dua kali - sekali apabila dia mula didakwa dan sekali lagi selepas undang-undang mengenai hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh dipinda pada 2012.

Dalam kedua-dua kali, beliau dihukum mati. Bagaimanapun, walaupun haknya bagi rayuan telah habis, mahkamah tertinggi itu memberinya peluang lagi untuk membentangkan hujah-hujah bagi kesnya dikaji semula, kata AGC.

Encik Singh, Cik Chong-Aruldoss dan Encik Dodwell berada di mahkamah untuk cuba membatalkan hukuman mati Kho.

AGC berkata "tindakan tiga peguam itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah".

Pertama, mereka berkali-kali membangkitkan hujah-hujah lama yang telah pun ditolak atau ditarik balik oleh peguam terdahulu Kho, Encik Chandra Mohan, apabila kes itu didengar sebelumnya.

AGC berkata Encik Singh mengolah semula hujah yang Encik Mohan telah cuba bentangkan tetapi kemudian gugurkan, dengan berhujah bahawa hukuman mati Kho dicemari sikap berat sebelah semu kerana Hakim Rayuan Andrew Phang duduk pada kedua-dua rayuan.

"Encik Singh sepatutnya tahu bahawa tidak wajar memfailkan permohonan baru yang mengandungi alasan sama yang telah ditarik balik sebelumnya," kata AGC.

Mahkamah Rayuan menegaskan ini minggu lalu, dan memutuskan tiada salahnya Hakim Phang mendengar kedua-dua rayuan: rayuan 2011 bagi memutuskan apakah Kho harus didapati bersalah, manakala rayuan 2015 untuk membuat keputusan mengenai hukuman.

Kedua, Cik Chong-Aruldoss dan Encik Dodwell cuba "berpusing-pusing sekitar undang-undang" dengan cuba membangkitkan hujah-hujah mereka di bawah proses sivil selepas mereka menghabiskan proses jenayah, kata AGC.

"Kedua-duanya sepatutnya tahu sepenuhnya bahawa serangan sampingan ke atas keputusan jenayah adalah satu penyalahgunaan proses undang-undang," katanya.

Ketiga, kedua-dua peguam meminta perbicaraan ditangguhkan minggu lalu, dengan memberi alasan masa tidak mencukupi untuk membuat persiapan. Tetapi Encik Dodwell akhirnya dapat menghujahkan rayuan itu, ujar AGC.

"Tindakan Encik Singh, Encik Dodwell dan Cik Chong-Aruldoss tidak selaras dengan tugas paling utama seorang peguam kepada Mahkamah. Adalah salah jika sembarang peguam menegaskan bahawa tugasnya kepada pelanggan membolehkan proses mahkamah disalah guna."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.