MESKIPUN tempoh pemutus rantaian jangkitan sudah berakhir, namun peniaga Encik Azhar Othman tidak akan bersikap sambil lewa.
Sedang lebih ramai pekerjanya dijangka kembali bekerja di pejabat dan gudang, Encik Azhar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan G-Environment Energy Solutions (GENES) dan Pengarah Urusan Enercon Asia, akan memastikan semua langkah jarak selamat dipatuhi seketat semasa tempoh pemutus litar.
Langkah seperti jarak selamat sekurangnya satu meter, pengambilan suhu badan, penggunaan sistem 'Safe Entry', pemakaian pelitup, penggunaan sanitiser dan peruntukan kawasan khas bagi barangan penghantaran diterima akan terus dilaksanakan demi keselamatan pekerja.
Semasa tempoh pemutus litar, syarikatnya yang tergolong dalam industri pengilangan, hanya dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk mempunyai maksimum dua pekerja di pejabat dan gudang manakala yang lain bekerja dari rumah.
Kini sehingga 12 pekerja dijangka kembali bekerja di pejabat dan gudangnya di Mandai Link.
Menjelaskan tentang persiapan menyambut kepulangan lebih ramai pekerja, Encik Azhar yang menggajikan seramai 27 pekerja, berkata pada hari pertama pemutus litar tamat, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan yang menyeluruh di pejabat dan gudangnya.
"Sejak langkah jarak selamat diperkenalkan, pekerja kami sudah terbahagi kepada dua pasukan.
"Jadi pasukan pertama akan hanya kembali ke pejabat atau gudang pada hari kedua (3 Jun) selepas kerja pembersihan dijalankan.
"Walaupun tidak semua pekerja akan kembali ke premis tetapi kami harus pastikan bahawa langkah jarak selamat yang sudah dilaksanakan sebelum ini diteruskan dan dipatuhi dengan ketat demi melindungi mereka yang kembali bertugas," ujarnya yang firmanya menghasilkan huraian tenaga diperbaharui dan kawalan tenaga kuasa.
Menurut Encik Azhar, para pekerjanya bersikap positif dan tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan norma baru sepanjang tempoh pemutus litar.
Lantaran itu, beliau tidak bimbang yang pekerjanya akan meneruskan langkah jarak selamat dengan baik pasca pemutus litar.
"Saya sambut baik pendekatan diambil pemerintah untuk mengimbangi antara pekerjaan diteruskan dengan memastikan keselamatan pekerja.
"Jadi bagi saya, paling penting semua langkah jarak selamat dikuat kuasa dengan ketat agar tiada kebimbangan.
"Apa yang kita hadapi sekarang adalah norma baru dan harus diterima agar perniagaan dapat terus beroperasi dan pekerja dapat terus menjalankan tugasnya," terang beliau yang mempunyai sekitar 50 pekerja di operasi luar negara seperti Bangladesh, Pakistan, Filipina dan Malaysia.
Buat masa ini, dua pasukan pekerjanya akan bertugas di pejabat dan gudang pada waktu yang sudah diaturkan dan secara bergilir-gilir sebagai langkah keselamatan dalam mengurangkan risiko penyebaran.
Encik Azhar akur bahawa cara beroperasi baru ini telah menyebabkan kegenjotan dalam perniagaannya, dengan sekitar 15 hingga 20 projek tertangguh.
Tetapi ia telah menunjukkan bahawa operasi 'dalam talian' boleh berkesan dan membolehkan perniagaan dapat terus berjalan.
"Misalnya, kami kini berurusan dengan pelanggan di Singapura mahupun luar negara menerusi dalam talian, bertemu menerusi aplikasi Zoom dan kami tetap dapat menjalankan tugas.
"Malah, saya dapati ada pekerja yang lebih produktif bekerja dari rumah. Jadi, saya mungkin akan timbangkan untuk menawarkan waktu kerja yang dibahagikan di rumah dan di pejabat kelak," kata beliau.
Dengan kepulangan lebih ramai pekerja di pejabat dan gudangnya, Encik Azhar berharap pengeluaran produknya dapat dipulihkan kepada 100 peratus, seperti sebelumnya.
Sejak langkah jarak selamat diperkenalkan, pekerja kami sudah terbahagi kepada dua pasukan. Jadi pasukan pertama akan hanya kembali ke pejabat atau gudang pada hari kedua (3 Jun) selepas kerja pembersihan dijalankan. Walaupun tidak semua pekerja akan kembali ke premis tetapi kami harus pastikan bahawa langkah jarak selamat yang sudah dilaksanakan sebelum ini diteruskan dan dipatuhi dengan ketat demi melindungi mereka yang kembali bertugas. - Encik Azhar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan G-Environment Energy Solutions (GENES) dan Pengarah Urusan Enercon Asia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg