Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar maut dilanggar kereta pecut dalam perjalanan bantu di bazar

Jun 09, 2016 | 09:34 AM



HASRAT seorang pelajar membantu di sebuah gerai bazar Ramadan tidak tercapai, apabila beliau meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta pada Selasa (7 Jun) malam.



Allahyarhamha Siti Nurfadariiyah Rosdi, 21 tahun, sedang melintas jalan ke bazar Ramadan di Jurong West apabila kereta yang dipandu laju melanggar beliau, mengakibatkan beliau tercampak tiga meter.



Pelajar di sebuah kolej privet itu disahkan meninggal dunia akibat beberapa kecederaan, dan polis telah menahan seorang pemandu lelaki berusia 41 tahun berhubung kes itu.



Allahyarhamha dalam perjalanan untuk membantu di gerai burger Ramly keluarga teman lelakinya.



Saksi berkata kemalangan itu berlaku sekitar 8.30 malam.



Mereka mendakwa pemandu kereta itu memandu laju dan cuba melanggar lampu merah di simpang lampu isyarat antara Jurong West Avenue 1 dan Jurong West Street 41.



Beliau cuba mengelak orang ramai yang masih melintas jalan dan hilang kawalan keretanya.



Kereta Mercedes-Benz itu melanggar Allahyarhamha, yang berdiri di pembahagi jalan tengah untuk mengelak dilanggar ketika beliau melihat kenderaan itu menuju ke arahnya.



Allahyarhamha tercampak ke jalan bertentangan dan terjatuh kepala dahulu, kata saksi.



"Saudara perempuan saya dan saya sedang hendak menutup gerai produk rambut kami di bazar itu apabila tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat," kata pegawai kecemasan lapangan terbang Afyque Salleh, 25 tahun.



"Sesetengah pemilik gerai bergegas untuk membantunya dan memanggil ambulans. Dia terbaring dalam keadaan berlumuran darah."



Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 9.07 malam, dan siasatan sedang dijalankan.



Di tempat kejadian, dua orang yang memperkenalkan diri mereka sebagai jururawat staf kanan cuba memulihkan Allahyarhamha dengan melakukan mampatan dada selepas mereka mendapati beliau telah kehilangan nadi, kata Encik Afyque.



Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kemudian menghantar Allahyarhamha ke Hospital Besar Ng Teng Fong.



Abang Allahyarhamha, Encik Muhammad Fadiq Rosdi, 27 tahun, memberitahu akhbar The Straits Times pada Rabu (8 Jun) Allahyarhamha disahkan meninggal dunia pada kira-kira 10.50 malam.



Keluarga mereka tinggal dekat bazar itu di Jurong West Street 41, dan Allahyarhamha pulang ke rumah untuk menukar pakaian.



Allahyarhamha membantu keluarga teman lelakinya di bazar tersebut setiap tahun, kata Encik Muhammad Fadiq, seorang spesialis pengendalian kontena.



"Dia selalu di rumah dan menjaga ibu saya. Ibu saya sangat sedih dan tidak sanggup pergi ke hospital," katanya, sambil merayu saksi tampil memberi kenyataan.



Encik Afyque berkata beliau akan menganjurkan kutipan amal di bazar itu Ahad ini bagi membantu keluarga Allahyarhamha.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >