Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar NYP rakam budaya 'kolong blok' dalam buku foto

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



Kedekatan pada sesuatu tempat seperti kolong blok di Bedok atau pasar Geylang Serai mencetus idea buat dua pelajar Politeknik Nanyang (NYP) mencipta rekaan bagi projek tahun akhir mereka. Tempat-tempat ini mewujudkan semacam nostalgia yang membawa mereka menyusuri jalan kenangan penuh bermakna. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



Pepatah ini tepat menggambarkan betapa kuatnya ingatan Cik Kamilla Tasha Kummah, 21 tahun, terhadap kejiranan Bedok yang menjadi tempat tinggalnya selama dua dekad.



Di situlah, pelajar jurusan Diploma Komunikasi Visual daripada Politeknik Nanyang (NYP) itu merasakan nikmatnya berada di kolong blok flat sambil menghayati kerencaman kegiatan di situ.



Sayangnya, apabila Cik Kamilla berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Yishun, budaya gotong-royong antara jiran di kolong blok tidak lagi kelihatan.



Pendek kata, beliau rindukan suasana meriah melihat remaja memetik gitar, warga senja berinteraksi sambil bermain dam atau penjual aiskrim potong berjaja di kawasan berhampiran kolong flat.



Nostalgia yang dirasakan itulah yang membuatnya menghasilkan buku bergambar bertajuk Void Deck bagi projek tahun akhirnya di NYP.



Buku itu terbahagi kepada empat bab yang setiap satu mengupas tentang 'perwatakan', budaya, emosi dan titik persamaan kolong blok.



Cik Kamilla banyak merakam gambar yang mencerminkan keunikan Singapura sebagai negara yang memanfaatkan ruang berharga di kolong blok bagi bermacam-macam kegiatan kemasyarakatan.



Beliau malah menghabiskan masanya menjelajah ke estet lama dan baru di serata Singapura bagi merakam kegiatan atau upacara yang masih lagi dilakukan secara harian atau mingguan.



"Setiap kolong blok ada karakter sendiri. Si apek, mak cik, kucing atau karung guni adalah perwatakan yang mewarnai kolong blok menjadi apa yang anda lihat di setiap kejiranan.



"Budaya kolong blok yang sering kita bincangkan suatu ketika dahulu adalah remaja melepak dengan kawan, warga senja tidur nyenyak di kerusi kolong flat serta jualan aiskrim potong yang laku buat semua lapisan penduduk," ceritanya.



Cik Kamilla juga melihat betapa suasana di kolong blok sarat emosi, mencetus keriangan dan kasih sayang pada majlis perkahwinan atau kesedihan dan ratapan sayu sewaktu upacara pengebumian Cina dan perarakan mengusung mayatnya.



"Dalam mengumpul bahan bagi buku ini, saya mengambil kira aspek tradisi dan juga jalinan kerjasama antara kaum menerusi kegiatan seperti keramaian blok anjuran Jawatankuasa Penduduk (RC).



"Boleh dikatakan, kolong flat ini menjadi lambang permulaan baru dalam kehidupan dengan adanya majlis pernikahan atau majlis kahwin di situ.



"Ruang ini juga pencetus keamanan, kegembiraan dan keharmonian antara anggota masyarakat majmuk di Singapura," dedahnya.



Cik Kamilla, yang terdorong mengambil kursus komunikasi visual itu berkat melihat kegigihan ibunya membina kerjaya sebagai penulis iklan suatu ketika dahulu, akur zaman telah jauh berubah.



"Di estet matang Bedok, tempat saya dewasa, semua orang saling mengenali.



"Namun, di kejiranan baru ini, saya hanya kenal seorang jiran sahaja kerana budaya menguntum senyum dan bertegur sapa sesama jiran nampaknya semakin pudar dalam kesibukan mengejar masa.



"Nak tengok orang main sepak takraw di gelanggang yang tersedia pun payah. Keadaan ini menimbulkan kekhuatiran kolong blok akan menjadi sunyi sepi dan ruang terbuang jika tidak dimanfaatkan. Kanak-kanak dan remaja pun sibuk bermain gadget (peralatan canggih) di rumah dan kurang beriadah di kolong blok," katanya lagi.



Ditanya mengenai cabaran projek ini, beliau berkata ia terletak pada kebimbangan orang yang fotonya ingin dirakam tidak sudi dilibatkan dalam projek ini.



"Setiap kejiranan ada ciri-ciri uniknya. Fotografi pula adalah cabang seni yang saya minati kerana satu foto sahaja menceritakan bermacam-macam kisah dan menjadi alat komunikasi berkesan," tambahnya.



Cik Kamillah kini ingin meneruskan pengajian peringkat ijazahnya dalam bidang komunikasi grafik di Maktab Seni Lasalle.



"Saya benar-benar meraih inspirasi daripada pencapaian ibu yang baru sahaja meraih ijazah Sarjana Sastera dalam Pengurusan Seni dan Budaya daripada Maktab Seni Lasalle.



"Selain itu, ibu juga giat dalam kerja sosial dan prihatin tentang isu kemasyarakatan dan pemerkasaan wanita," tambahnya mengenai ibunya, Cik Zubaida Ali, 56 tahun, aktivis, penulis dan penceramah yang turut menggerakkan badan pemerkasaan wanita, Daughters of Tomorrow.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >