Peluang nikmati alam unggas dan hutan serta berkhemah di Mandai

MANDAI akan menjadi lebih luas dan lebih baik, dengan rancangan menjadikan kawasan hutan di utara Singapura itu sebuah hab ekopelancongan seluas 126 hektar.

Kawasan itu sekarang menempatkan Taman Haiwan Singapura, River Safari dan Safari Malam. Seawal 2020, ia akan mempunyai dua tarikan baru - Taman Burung, yang akan dipindahkan dari Jurong, dan Taman Hutan Tropika baru.

Penginapan mesra eko seperti kem, khemah dan bilik keluarga juga akan disediakan.

Di Taman Hutan Tropika, pengunjung boleh melakukan "pengembaraan berlapis-lapis" di laluan dari lantai hutan ke kanopi di atas pokok.

Di Taman Burung, pengunjung boleh memerhati burung dalam sekitaran semula jadi mereka di sembilan aviari dengan landskap berbeza dari seluruh dunia, seperti tanah lembap, hutan buluh dan hutan tropika.

Unggas-unggasnya akan dibiarkan terbang bebas, jadi pelawat boleh memerhatikan tingkah laku semula jadi mereka dalam suasana yang direka agar menyerupai habitat asal mereka, kata syarikat pemaju Mandai Safari Park Holdings dalam satu taklimat media pada Rabu (1 Jun).

Taman burung itu akan juga menempatkan kemudahan pembiakan dan penyelidikan yang bertujuan meningkatkan populasi spesies terancam seperti burung tiung Bali, jalak bersayap hitam dan dan murai ketawa bermahkota biru.

Syarikat pemaju itu juga mengumumkan rancangan membina jambatan eko, serupa di Ekspreswe Bukit Timah (BKE), merentangi Mandai Lake Road.

Rancangan mengubah Mandai secara besar-besaran pertama kali diumum oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada September 2014, dalam satu forum televisyen.

Beliau berkata ketika itu bahawa kawasan tersebut akan diberi nafas baru dengan "taman haiwan lebih besar, lebih baik". Taman Burung Jurong juga akan dipindahkan ke situ, katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 66
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.