Pemandu kembara ingin terus meneroka

Mereka sanggup meninggalkan tanah air demi merubah perspektif tentang hidup. Mereka juga berani melakukan sesuatu di luar zon keselesaan. Bekas lulusan Universiti Edith Cowan membina kerjaya sebagai pemandu kembara di Pulau Sir Bani Yas, di Teluk Arab, manakala seorang pemilik diploma kembara dan pelancongan pula sanggup ke Bahamas untuk belajar 'berhadapan' dengan ikan jerung. Berbekalkan pengalaman yang ditimba, mereka ingin berkongsi cerita dengan harapan dapat membuka minda masyarakat. Laporan FARAH REZAL (rfarah@sph.com.sg).

ENCIK Mohammad Rafiuddin Samsudin merantau jauh dari segala yang 'biasa' dan 'dikenali' demi membina kerjaya yang membolehkan beliau mengenali erti hidup dengan lebih mendalam.

Beliau memilih bekerja di 'kawasan' bukit bukau yang kaya dengan mineral dan didiami sekitar 14,000 haiwan bebas.

Pekerjaan yang dilakukannya - pemandu kembara di Pulau Sir Bani Yas - terletak 250 kilometer dari bandar Abu Dhabi dan 400 kilometer dari Dubai - membuatkan pemuda berusia 29 tahun ini merasakan banyak yang boleh dipelajarinya.

"Saya ingin mendapatkan pengalaman baru serta menikmati budaya orang lain dan menyemai perspektif baru dalam hidup," kata Encik Rafiuddin yang mula bekerja di sana Februari tahun lalu.

Beliau membawa pelancong melakukan kegiatan seperti berbasikal di kawasan gunung, berkayak dan menunggang kuda.

Bekerja dengan syarikat Desert Islands Resort & Spa by Anantara, beliau diberikan tempat tinggal di sebuah kabin berdekatan dengan pantai, dan ada kalanya di waktu malam, binatang seperti antelop datang ke kabinnya.

Encik Rafiuddin, yang memang minat mengembara sejak kecil, adalah bekas presiden kelab kembara di Politeknik Nanyang.

Sebagai 'penghuni' di Pulau Sir Bani Yas, beliau harus bijak menyesuaikan diri dan bersosial bukan sahaja dengan penduduk, bahkan dengan rakan sekerjanya yang berasal daripada pelbagai negara seperti Afrika Selatan, Britain dan Jordan.

"Demi meneruskan kerjaya saya di sini, saya tidak saja bergantung pada motivasi, malah turut memupuk disiplin dalam diri saya sendiri," kata beliau yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Sukan dan Sains Senaman daripada Universiti Edith Cowan.

Bekerja di rantauan bermakna beliau terpaksa hidup berjauhan daripada keluarganya.

Beliau akui bahawa tidak mudah baginya menghilangkan rasa rindu kepada keluarga, lebih-lebih lagi hubungan mereka amat rapat dan mesra.

Lantaran itu, Encik Rafiuddin kerap menggunakan media sosial untuk berinteraksi bersama ibu tunggalnya, seorang ustazah; abang dan kakaknya, serta enam anak saudaranya yang berumur 10 hingga 21 tahun.

"Walaupun saya tidak dapat menghadiri acara keluarga seperti majlis perkahwinan, saya perlu mempunyai fikiran terbuka dan ingat akan matlamat saya datang ke sini," kata beliau yang bercadang menetap di sana selama dua atau tiga tahun lagi.

Beliau yakin bahawa dengan koleksi pengalaman hidupnya itu, ia akan menjadikan beliau individu yang lebih bijaksana.

Encik Rafiuddin, yang belum lagi berumah tangga, percaya beliau akan dapat memimpin keluarganya kelak melalui teladan.

"Dengan peluang yang terbuka buat masa ini, saya ingin terus meneroka.

"Bukankah ia bersesuaian dalam ajaran Islam yang menggalakkan umatnya meneroka dengan hati terbuka, sambil berpegang kepada kepercayaan dan nilai-nilai utama, dengan sikap rendah hati," katanya.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.