Pendakwah S'pura dipenjara di Johor

PENDAKWAH bebas dari Singapura, Rasul Dahri, kini dipenjara di Johor Bahru setelah didapati bersalah mengajar tanpa tauliah di Johor Bahru baru-baru ini.

Atas kesalahan itu juga, dia turut didenda RM5,000 ($1,690.)

Jurucakap Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) memberitahu Berita Harian bahawa Mahkamah Syariah Johor telah menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu atas kegagalan Rasul Dahri mendapatkan tauliah dan menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunah Waljamaah.

Menurut Jainj, setiap pendakwah yang ingin mengajar agama sama ada dari Singapura atau Malaysia sendiri mesti mendapatkan sijil pentauliahan dan patuh dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jainj.

"Prosedur yang ditetapkan itu perlu diikuti dan pentauliahan penting bagi memastikan pendakwah menyampaikan ceramah atau kuliah selari dengan fahaman Ahli Sunah Waljamaah.

"Jadi pentauliahan itu penting bagi Jainj mengawal umat Islam daripada menerima ilmu yang salah daripada orang yang tidak jelas ajarannya," kata jurucakap Jainj.

Menurutnya, kegiatan Rasul Dahri mengajar agama di Johor telah dikesan sejak 2007 dan beberapa kali Rasul Dahri didapati tidak mendapatkan kebenaran daripada Jainj bagi menyampaikan ajaran agama.

Jainj telah memperketat ajaran agama di Johor dengan memperkenal pentauliahan bagi semua guru agama.

Setiap guru agama perlu membuat permohonan pentauliahan bagi memudahkan perjalanan kerja dan kegiatan dakwah mereka dipantau.

Malah, menurutnya, pendakwah terkenal dari Malaysia sendiri yang sering muncul di kaca televisyen juga perlu mendapatkan pentauliahan sebelum menyampaikan ceramah agama di Johor.

Jainj juga berkata pihaknya sebelum ini telah membenarkan ramai pendakwah dan guru agama dari Singapura memberi ceramah agama di Johor.

"Ramai penceramah dari Singapura kami izinkan mengajar, memberi ceramah, malah menjadi imam di masjid di Johor setelah mereka mendapatkan pentauliahan kami.

"Kami tidak menghalang mana-mana pihak dari Singapura yang selari dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah mengajar di sini selagi mereka mengikut peraturan Jainj.

"Sebelum memberi pentauliahan, kami akan menemu ramah setiap individu bagi memastikan ajaran mereka tidak memecahbelahkan akidah, pegangan serta kepercayaan umat Islam di negeri Johor,'' tambah jurucakap Jainj.

Ajar agama tanpa tauliah, sebar fahaman bercanggah Ahli Sunah Waljamaah

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 23
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.