TANGGUNGJAWAB seorang mentor bukan sekadar membantu pelajar yang menghadapi kesukaran dalam bidang akademik, bahkan bimbingan yang diberikan biasanya merangkumi pelbagai aspek kehidupan.
Malah, masalah pelajar yang sukar tidur juga merupakan antara isu yang perlu dihadapi seorang mentor.
Ini merupakan antara keprihatinan yang diutarakan 'mentee' Encik Faisal Abdul Karim, 34 tahun, yang sudah lebih lima tahun menyumbang tenaga sebagai mentor dalam program anjuran Mendaki.
Menurutnya, masalah tidur malam itu perlu diatasi segera kerana ia menjejas kesihatan mental pelajar tersebut.
"Saya tanyakan kepada beliau tentang keadaan di rumah, dan cuba membantu beliau meluahkan masalah yang dihadapi di rumah.
"Dengan menggunakan pengalaman sendiri, saya cuba berikan nasihat dan pandangan untuk berkomunikasi lebih terbuka dengan anggota keluarganya," katanya.
Meskipun akui masih menghadapi kesukaran mendalami budaya masyarakat Melayu Islam Singapura, anak kelahiran Abu Dhabi yang membesar di beberapa negara termasuk United Kingdom dan Pakistan itu, giat berusaha memperluas interaksi beliau dengan pelbagai lapisan masyarakat agar dapat lebih memahami perspektif 'mentee' beliau.
Malah, Encik Faisal yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Sukarelawan Mendaki 2022, turut aktif menyumbang kepada badan-badan lain seperti di Young NTUC, Lembaga Perpustakaan Nasional (NLB), Make-A-Wish, dan sebagai Duta Negara Bijak.
Ini di samping tumpuan yang diberikan demi membina kerjayanya dalam bidang teknologi dan khidmat kewangan, dengan lebih 13 tahun pengalaman.
Encik Faisal kini bertugas sebagai Pengarah Bersekutu (Kelakuan, Jenayah Kewangan dan Pematuhan) di Standard Chartered Bank dan akan memastikan beliau memperuntukkan masa untuk menyumbang kepada masyarakat.
Menurutnya, sebagai anak sulung di rumah dan yang tertua di kalangan saudara maranya, beliau sudah terbiasa menjadi 'mentor'.
Sejak usia remaja, Encik Faisal juga terlibat dalam pelbagai program sukarelawan semasa menetap di negara selain Singapura.
"Bagi saya panggilan untuk menyumbang kepada masyarakat ini datang secara semula jadi semasa saya berpindah ke Singapura.
"Ia juga membantu saya mengenali lebih ramai orang. Saya juga suka banyak berinteraksi dengan masyarakat Melayu, Arab dan Pakistan di sini dan ingin berusaha membentuk mereka sebagai 'modal manusia' yang futuristik, berkemahiran dan progresif untuk Singapura," ujarnya.
Selain terlibat sebagai mentor bagi program Mendaki seperti #AmPowered@MTS- yang merupakan program pementoran Skim Tuisyen Mendaki (MTS) bagi pelajar Menengah 3 dan 4 daripada aliran Normal Akademik dan Teknikal, Encik Faisal juga diberi tanggungjawab untuk melatih mentor-mentor lain.
Mentor perlu memahami cabaran yang dihadapi 'mentee' mereka dan menyalurkan sepenuh tenaga dan usaha bagi membantu mereka mengharungi cabaran tersebut.
"Mentor juga perlu menjadi 'role model' dan mempunyai sikap empati dalam memahami perspektif mentee dan memberikan harapan dan positiviti dalam usaha mencetus perubahan dalam kehidupan mereka.
"Ini penting untuk berinteraksi secara berkesan dengan mereka dan memastikan mereka dapat meraih manfaat dari hubungan mentor/mentee ini," katanya.
Encik Faisal turut menggesa lebih ramai untuk menggarap peluang membimbing mereka yang lebih memerlukan melalui program pementoran.
Katanya: "Saya percaya amalan baik seperti ini akan berlipat ganda ganjarannya dan membawa berkat yang berterusan."