Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

OTHMAN WOK 1924-2017

Penghormatan untuk Othman Wok

Pemimpin pengasas S'pura, yang meninggal dunia semalam, diiktiraf sebagai pejuang dasar berbilang bangsa, banyak berjasa kepada negara dan masyarakat
Apr 18, 2017 | 05:30 AM



SINGAPURA memberi penghormatan atas jasa dan sumbangan pemimpin pengasas Allahyarham Othman Wok.



Bendera negara di semua bangunan pemerintah dikibarkan pada setengah tiang mulai semalam, selepas pemergian Allahyarham diumumkan.



Allahyarham Othman, mantan Menteri Hal Ehwal Masyarakat dan juga anggota Kabinet pertama Singapura selepas mencapai kemerdekaan, meninggal dunia semalam pada usia 92 tahun.



Selepas solat jenazah di Masjid Sultan hari ini, keranda Allahyarham akan diselubungi bendera Singapura - penghargaan tertinggi negara kepada seseorang yang telah meninggal dunia.



Keranda kemudian akan diusung pedati meriam dalam perjalanan terakhir melalui kawasan bandar, kejiranan di Alexandra dan berakhir di Pusara Aman, di mana jenazah Allahyarham akan dikebumikan.



Pemergian Allahyarham semalam disambut rasa sedih oleh pemimpin dan watan - ramai yang mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham khususnya semasa zaman genting Singapura.



Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan anggota Kabinetnya sedih mendengar pemergian Allahyarham dan melahirkan ucapan takziah kepada keluarganya.



Anak perempuan Allahyarham, Cik Lily Othman, 60 tahun, berkata bapanya dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada 6 April lalu akibat jangkitan paru-paru.



"Beliau kelihatan baik kelmarin tetapi awal pagi semalam keadaannya semakin buruk dan kami terima panggilan pada 8.40 pagi supaya pergi ke hospital. Kecuali kakak, semua anggota keluarga ada bersamanya di saat akhir," kata Cik Lily.



Sebaik sahaja berita pemergian itu diumumkan, pemimpin negara dan masyarakat mengirimkan ucapan takziah serta kenyataan memperingati jasa Allahyarham.



Presiden Tony Tan Keng Yam merupakan antara yang pertama mengunjungi keluarga Allahyarham di Bedok South.



Selepas itu, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim kelihatan tiba di sana.



Semasa ditemui media, Dr Yaacob memperingati Allahyarham sebagai seseorang yang memperjuang dasar berbilang bangsa dan agama.



"Beliau dapat melihat helah pihak ekstremis pada masa itu dan menyedari bahawa masa depan bagi Singapura adalah menerusi sebuah masyarakat yang saling menghormati. Kita hidup dalam masyarakat di mana kita cuba membangunkan kebaikan umum.



"Beliau memperjuang apa yang baik bukan hanya untuk kaum Melayu bahkan untuk Singapura," kata Dr Yaacob.



Pada sebelah malam pula keluarga Allahyarham menerima kunjungan daripada Perdana Menteri Lee.



Allahyarham dikenang sebagai salah seorang pemimpin negara yang menandatangani Perjanjian Perpisahan antara Singapura dan Malaysia dan bapa pengasas negara ini.



Menurut PMO, Allahyarham merupakan anggota penting Kabinet Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dalam waktu genting apabila Singapura bercantum dengan Malaysia, dan apabila Singapura berpisah menjadi sebuah negara merdeka.



Allahyarham menyokong perjuangan mendiang Encik Lee dalam membentuk sebuah Singapura yang berbilang kaum dan agama, dan juga salah seorang rakan karib mendiang Encik Lee.



Beberapa badan Melayu/Islam setempat juga mengeluarkan kenyataan takziah.



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya menghargai usaha Encik Othman membina asas pentadbiran ehwal masyarakat Islam di negara ini di samping membangunkan dasar nasional dan prasarana kebudayaan dan kebajikan sosial.



Muis menambah bahawa legasi terbesar Allahyarham adalah pembangunan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan dengan adanya Amla, ia membolehkan pembentukan Muis, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).



Yayasan Mendaki pula mengingati sumbangan Encik Othman menyediakan asas pembentukan badan bantu diri itu pada 1982.



Petang esok, satu upacara memperingati jasa dan sumbangan Allahyarham akan diadakan di Dewan Konsert Victoria.




"Keyakinan teguh beliau bahawa seseorang boleh membina sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama berdasarkan keadilan dan saksama, membantu jadikan impian itu satu kenyataan, melalui masa sukar apabila Singapura belum dapat menentukan masa depannya.

Selepas Perpisahan (dengan Malaysia) kegigihan Encik Othman memberikan jiwa kepada Melayu Singapura, dan membolehkan kita kekal sebagai masyarakat berbilang kaum. Singapura yang kita tahu hari ini tidak mungkin wujud tanpa Encik Othman dan generasi pengasas yang lain."

- Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam warkah takziah kepada balu Allahyarham, Cik Lina Abdullah.




Laporan lanjut:



Presiden Tony Tan, PM Lee ucap takziah



Pemimpin Melayu/Islam kenang jasa Allahyarham



Sumbangan kepada dasar berbilang kaum




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >